BIBIRnya yang sering menguntum senyuman serta merendah diri meletakkan Bibi Ramjani Ilias Khan, 46, dalam kelas tersendiri. Namun, di sebalik senyuman manis itu tersimpan 1,001 pengalaman jerih perih dalam dirinya sehingga dia mampu berdikari, disegani dan dihormati.
Begitulah personaliti Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ini.
Usahawan batik yang berasal dari Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan itu merupakan anak kepada pasangan Allahyarham Ilias Khan Gullzaratullah dan Allahyarhamah Meriam Gullzaman.
Arwah bapanya berdarah Pakistan manakala arwah ibunya pula berdarah Melayu-Pakistan yang menguatkan lagi keperibadiannya dalam bidang perniagaan.
Malah asuhan ibu serta kakak-kakak berjaya membentuknya menjadi seorang wanita moden yang tetap berpegang kepada tradisi keluarga selain berbudi bahasa.
Anak kelahiran Mukim Pangkal Kalong, Kok Lanas yang membahasakan dirinya sebagai Kak Bi berkata, bapanya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kok Lanas ketika beliau berumur lima tahun sebelum ibunya mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga membesarkan mereka lima beradik.
“Bapa Kak Bi meninggal dunia semasa Kak Bi masih kecil. Jadi ibu keseorangan bekerja keras mencari duit untuk menyara kami lima beradik dengan kakak sulung melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat.
“Ibu merupakan inspirasi saya, dia berniaga kain, barangan basah di pasar serta membuat roti canai di rumah sebelum dihantar ke kedai-kedai sekitar Kok Lanas,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.
Membesar dalam keadaan susah, didikan ibu berjaya mendidik Kak Bi dan adik-beradiknya tentang kehidupan.
Bermula dengan membantu ibunya menghantar roti canai ke kedai-kedai, Kak Bi mula menyimpan minat yang mendalam dalam bidang perniagaan. Malah, kemahiran berniaga yang dimiliki turut diwarisi daripada kedua-dua ibu bapanya.
Kak Bi memberitahu, ilmu perniagaannya diperoleh secara tidak langsung sejak berusia lima tahun lagi dengan menjual kuih dan roti canai ke kedai-kedai.
Jual kuih
“Masuk ke alam persekolahan darjah satu, Kak Bi meneruskan rutin membantu ibu menghantar roti canai ke kedai kopi. Sebelum masuk ke sekolah, setiap pagi Kak Bi membantu ibu, jadi dari situ kita mula terdedah kepada selok-belok perniagaan.
“Semasa menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Pengajian Am, Kak Bi tidak fokus untuk belajar kerana keinginan berniaga secara serius. Jadi, Kak Bi nekad berhenti belajar,” jelasnya.
Pada peringkat awal, beliau yang juga Pengurus Desa Murni Batik Kota Bharu hanya menjual kain batik, kain sarung serta cadar dari Indonesia.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Reka Jati Construction merupakan ibu kepada empat cahaya mata iaitu Affan, 23; Faris, 17; Firdaus, 16, dan Humairah, 14.
Berkat kegigihannya, kini Kak Bi memiliki kilang dan galeri batik sendiri.
Beliau juga menceburi bidang perumahan dan hartanah melalui syarikat Reka Jati Construction.
“Berniaga sudah menjadi nadi dan darah daging, kini saya berada di semester akhir dalam bidang Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Malaya.
“Kali ini Kak Bi nekad pula untuk tidak akan berhenti belajar,” ujarnya berseloroh.
Nama Kak Bi popular selepas beliau terpilih menjadi wanita pertama Presiden KAFA pada kongres pemilihan persatuan itu pada 17 September lalu.
Dalam wawancara dengan wartawan Kosmo!, wanita itu memulakan bicaranya dengan menceritakan latar belakang keluarganya. Empat kakaknya iaitu Datuk Paduka Siti Hajar, 60, Datin Siti Hasnah, 58, Siti Madinah, 50-an dan Siti Faridah, 50-an, adalah antara individu yang banyak mempengaruhi kehidupan Kak Bi.
Sokongan
Berkumpul di rumah kakak keduanya, Siti Hasnah atau lebih mesra dengan panggilan Cu Bi merupakan rutin Kak Bi ekoran dia tinggal berhampiran.
“Selain ibu, merekalah yang memayungi saya dengan kasih sayang. Malah, mereka banyak menyokong keputusan-keputusan besar dan penting yang dibuat dalam hidup saya.
“Semasa hendak bertanding jawatan Presiden KAFA, saya bertanya pendapat mereka. Semua memberi sokongan walaupun agak mustahil untuk seorang wanita memegang sebuah persatuan sukan lebih-lebih lagi bola sepak yang didominasi oleh lelaki di negara ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bibi Ramjani menyifatkan tindakannya bertanding jawatan tersebut merupakan antara keputusan besar ketika prestasi semasa pasukan The Red Warriors (TRW) itu di ambang penyingkiran ke Liga Perdana.
“Walaupun setiap hari saya dihambat dengan waktu untuk menguruskan perniagaan dan keluarga tetapi saya sedar minat keempat-empat anak saya. Timbul keinginan untuk mengemudi KAFA selepas saya melihat anak ketiga, Firdaus amat meminati sukan bola sepak.
“Dia seorang yang pendiam tetapi gemar tersenyum. Dia hanya buka mulut apabila saya berbual tentang bola sepak. Semasa saya tanya pendapatnya mengenai pemilihan Presiden KAFA, Firdaus risau sekiranya saya menjadi mangsa ‘serangan’ netizen di media sosial,” katanya.
Menurut Bibi Ramjani, perkara itu menjadikannya lebih bersemangat untuk membuktikan kepada Firdaus. Kak Bi percaya, niat baik untuk mengembalikan maruah TRW jika disertai dengan pengorbanan dan komitmen yang tingi akan berjaya.
Hasilnya, saat-saat indah Kak Bi dengan pasukan kesayangan rakyat negeri ini itu berpanjangan apabila kerja keras dan usahanya berbaloi apabila TRW masih meneruskan saingan pada musim depan di kancah Liga Super.
“Apabila ada perlawanan bola sepak, saya belikan semua anak-anak tiket perlawanan.
“Saya lihat mereka cukup seronok menonton bola sepak secara langsung biarpun hanya berada di tempat duduk biasa,” katanya yang terlibat dengan KAFA sebagai penaja utama sejak tahun 2013.
Bak kata pepatah, laut mana yang tak berombak, bumi mana yang tak ditimpa hujan.
Kak Bi menerima dengan tabah takdir Ilahi apabila ikatan perkahwinannya bernoktah empat tahun lalu.
Lebih mendukacitakan, pada tahun yang sama ibunya, Meriam Gullzaman meninggal dunia ketika dia berada di hospital untuk rawatan salah seorang anaknya yang patah tangan.
“Allah SWT uji seseorang itu mengikut keupayaan masing-masing. Ibu merupakan seorang yang banyak memberi sokongan kepada saya dan meninggalkan kami selepas terjatuh di bilik air.
“Saya terkilan kerana semasa kejadian saya sibuk menjaga anak di hospital. Namun, saya sempat menjenguk ibu beberapa hari sebelum itu,” katanya.
Namun, dia kagum dengan kesabaran arwah ibunya membesarkan mereka tanpa bapa. Itu mengembalikan serba sedikit semangatnya untuk menghadapi kenyataan itu.
“Ibu membesarkan kami tanpa sesekali mengeluh, kalau dia boleh buat saya juga pasti boleh buat. Saya mula mengisi ruang dalam hidup anak-anak sebagai ibu dan bapa. Saya bekerja keras seperti tidak ada hari malam untuk memberikan mereka pakai dan makan.
“Kasih sayang kita beri, kesenangan pun kita beri. Saya mahu menjadi ibu dan ayah kepada anak-anak saya,” katanya.
Bagaimanapun katanya, kesenangan yang diberikan kepada anak-anaknya secara sederhana agar mereka menjadi insan yang bertanggungjawab.