PASIR MAS – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerusi Pusat Penyelidikan Keusahawanan dan Inovasi Global (GERIC) mengambil inisiatif menjalankan penyelidikan dan mendokumentasikan keunikan warisan serta sejarah penduduk Peranakan Cina Kelantan bagi tujuan pemuliharaan warisan.
Felo Bersekutu GERIC selaku Ketua Projek, Dr. Nasirin Abdillah berkata, projek penyelidikan di bawah UMK-GERIC dengan kerjasama Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK) itu terbahagi kepada beberapa kumpulan kecil yang akan menjalankan kajian berkaitan sejarah, budaya, bahasa, busana, seni bina dan makanan.
Tempoh penyelidikan ini katanya lagi, dijangka mengambil masa selama dua tahun bermula Januari 2019 dengan setiap kumpulan terdiri daripada empat penyelidik di bawah pemantauan Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad.
“Buat permulaan, kumpulan penyelidikan di bawah Skim Geran Jangka Pendek Padanan (Matching Grant) ini telah menjalankan pendokumentasian Himpunan Sim Beng di Tir Kun Temple, Pasir Parit, Tanah Merah, Kelantan, selama dua hari pada 10 dan 11 Januari 2019.
“Acara Sim Beng adalah salah satu sambutan terbesar dan julung kalinya diadakan di Kelantan ini adalah bertujuan untuk memberi penghormatan dan pujaan kepada para dewa-dewi di dalam kepercayaan masyarakat Peranakan Cina Kelantan,” katanya selepas Upacara Perhimpunan Sim Beng, di Kampung Chekok Pasir Mas, Kelantan.
Menurut Dr. Nasirin lagi, penyelidikan ini merangkumi keunikan budaya dan warisan kaum Peranakan Cina Kelantan yang berbeza daripada negeri-negeri lain kerana menggabungkan budaya Cina setempat, budaya Melayu pagan dan budaya Siam.
“Pihak GERIC dan UMK bersama PPCK juga akan menerbitkan sebuah buku yang merakamkan kajian dari pelbagai aspek kaum Cina Peranakan di Kelantan termasuklah sejarah, budaya, busana, makanan, sastera, bahasa dan bangunan seperti tokong kaum Cina. Upacara Sim Beng merupakan salah satu daripada acara yang didokumentasikan untuk menyentuh sub kajian tersebut,” jelasnya.
Sementara itu, Karya Tamu GERIC, Cheng Po Cen, berkata, Himpunan Sim Beng merupakan salah satu keunikan dan keistimewaan Cina Peranakan dan upacara ini adalah himpunan besar-besaran yang julung kali diadakan di Kelantan mahupun Malaysia.
“Himpunan ini dianjurkan oleh Tir Kun Temple Pasir Parit dengan kerjasama semua penganut Tao di seluruh Kelantan dengan penyertaan 29 daripada komuniti tempatan dan tokong dan kuil. Upacara kebesaran tahunan ini diadakan mengikut tarikh tertentu setiap dewa-dewi mengikut takwim Cina dengan meraikan dewa secara serentak, iaitu menggabungkan semua tokong-tokong Cina yang terdapat di Kelantan termasuklah Besut.
Menurut Cheng Po Chen atau dikenali dengan nama Hussin, Sim Beng di dalam bahasa Hokkien khususnya Peranakan Cina Kelantan mahupun Cina Kelantan bermaksud Dewa dan Dewi yang biasanya telah disalah tafsirkan sebagai Tuhan oleh kebayakan ahli masyarakat.
“Secara ringkas Cina Kampung atau Cina Peranakan Kelantan telah wujud sebelum kedatangan Laksamana Cheng Ho sebelum wujudnya hubungan di zaman Dinasti Ming lagi. Dalam satu penemuan kajian yang tersimpan di Universiti Nasional Singapura (NUS) bahawa Kelantan dirujuk sebagai Ho Lan Tan berdasarkan geografinya penempatan Cina Peranakan ini sepanjang sungai Kelantan dan lebaran Semarak yang terletak di jajahan Bachok Kelantan.
“Budaya dan warisan Cina Peranakan Kelantan masih kekal terpelihara khususnya berkaitan perayaan seperti sambutan Hari Raya Cina, Cheng Beng (Cuci Kubur) dan sambutan Hantu Lapar (Hungry Ghost Festival). Mereka juga masih menerima upacara menyembah Dato atau semangat tempatan (animisme) yang diambil daripada masyarakat Melayu terdahulu sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu,” katanya.
Selain itu, pengaruh masyarakat siam (Thailand) mempengaruhi kumpulan sub etnik ini yang turut meraikan sambutan seperti Loy Kratong, Songkran (Pesta Air) dan lain-lain upacara agama Buddha.
“Namun, himpunan Sim Beng adalah bukan sambutan perayaan tetapi satu acara yang dianjurkan bagi mengeratkan hubungan kesemua masyarakat cina peranakan dengan seluruh cina Kelantan yang sudah menjadi satu keunikan dengan percampuran tiga budaya diraikan dalam satu majlis.
“Pada upacara itu, terdapat pelbagai ritual diadakan seperti serunai, terbat, pulut kuning, tarian singa, gendang 24 musim dan Tat Jau. Persembahan seperti ini tidak ada dalam masyarakat Cina, Melayu mahupun Siam tetapi diresapi, diterima dan diamalkan masyarakat Cina Peranakan di Malaysia,” jelasnya.
Dalam aspek makanan juga telah mengalami asimilasi budaya dengan menerima makanan Melayu, Siam, Cina dan tempatan Kelantan.
“Kaum peranakan Cina Kelantan ini telah menjadikan makanan itu sebagai menu utama sebagai juadah pada majlis rasmi atau keraian. Terdapat pelbagai jenis makanan yang menjadi menu kegemaran bagi peranakan Cina Kelantan seperti budu cicah ulaman-ulaman (Melayu), Kau Jam atau Nasi Kerabu (Siam) dan Bak Hong (Cina),” katanya.
Proses asimilasi budaya menurutnya lagi, telah wujud menyebabkan Cina Peranakan Kelantan berbeza dengan bangsa Cina di luar sana dan ia telah menjadi salah satu sub etnik yang unik setanding dengan BabaNyoya yang fasih berbahasa Melayu tempatan dengan cekap sekali.
“Mereka juga mempunyai loghat Bahasa Cina Peranakan yang unik dan sukar difahami masyarakat luar dengan pengaruh campuran ketiga-tiga budaya unik. Sekilas pandang ramai anggota masyarakat menganggap Cina Peranakan adalah orang Melayu tetapi hakikatnya dalam realiti masyarakat mereka adalah kelompok sub etnik yang hidup bersatu padu bersama-sama dengan masyarakat tempatan,” katanya.
Sumber : Kampusuols.com