KOTA BHARU – Fizikal burung budgie, terutama baka English Budgie yang ‘berwajah’ comel dengan bulu pelepah berwarna terang seakan-akan burung nuri atau kakak tua kini semakin mendapat tempat di hati para peminat burung di negeri ini.
Kegilaan baharu terhadap unggas yang mempunyai ciri ‘frontal’ atau bahagian kepala besar, kembang serta bukaan bahu yang lebar tersebut juga secara tidak langsung membantu pemiliknya menjana pendapatan sampingan yang lumayan.
Perkata tersebut diakui Muhamad Zainudin Awang, 38, yang membela burung budgie sejak 2008 apabila berjaya membiakkannya dan menjual burung tersebut dengan harga mencecah RM1,000 sepasang.
Muhamad Zainudin berkata, setakat ini, dia memiliki lebih 200 English Budgie yang dibela di dalam sangkar yang dibina khas di hadapan rumahnya.
“Permintaan orang ramai terhadap burung peliharaan saya sentiasa ada pada setiap bulan.
“Kalau budgie jenis biasa, harganya dalam RM15 seekor, namun jika English Budgie, harganya mampu mencecah ribuan ringgit, bergantung kepada fizikal burung itu sendiri,” katanya.
Muhammad Zainudin ditemui pemberita selepas menyertai Pertunjukan Dan Pertandingan Kecantikan Burung Budgie 2019 di pekarangan pasar besar Giant, di sini semalam.
Bercerita lanjut, lelaki yang bertugas dengan Air Kelantan Sdn. Bhd.(AKSB) itu memberitahu, kecantikan burung budgie amat bergantung kepada kaedah penjagaan yang diamalkan pemilik setiap hari.
“Soal kebersihan mesti dititikberatkan bagi memastikan burung dalam keadaan sihat dan bersih. Najis burung ini tidak berbau, tapi kita masih perlu bersihkan sangkarnya sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi mengelak mereka jatuh sakit,” katanya.
Program anjuran Kelab Peminat Burung Budgie Kelantan itu menarik penyertaan 48 orang peserta membabitkan 250 ekor burung budgie yang berentap dalam sembilan kategori iaitu jenis Young Hen, Young Cock, Young Hen, Rare Variety, Hagoromo, Fallow, Crested Dan Rainbow.
Muhammad Zainudin mempertaruhkan lapan ekor burung budgie peliharaannya dan berjaya menjadi johan bagi kategori kategori Young Hen serta naib johan dan tempat keempat kategori Young Cock.
Sementara itu, wakil penganjur, Mohd. Faizal Ismail berkata, program itu merupakan aktiviti tahunan kelab bagi merapatkan hubungan sesama ahli dan edisi kali ini diadili oleh wakil World Budgerigar Organization (WBO), Bob Wilson dari Amerika Syarikat.
“Kelab Peminat Burung Budgie Kelantan ditubuhkan pada 2013 dan sekarang sudah ada hampir 250 ahli. Tahun ini, ada satu kategori baharu dipertandingkan iaitu jenis Hagoromo,” katanya.