Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melanjutkan tempoh mengemaskini maklumat pendapatan peminjam sehingga 31 Julai 2018.
Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, tempoh lanjutan berkenaan dibuat selepas menerima cadangan dan rungutan daripada peminjam.
Bagaimanapun beliau berkata, jika peminjam gagal mengemaskini maklumat dalam tempoh ditetapkan, PTPTN menganggap mereka tidak berhasrat memohon penangguhan bayaran balik, serta tidak akan termasuk dalam dasar baharu bayaran yang akan dibuat.
“Selain maklumat pendapatan, peminjam juga perlu mengemaskini maklumat penting yang lain termasuk maklumat perhubungan terkini (alamat, nombor telefon serta alamat e-mel) dan maklumat pekerjaan.
“Berdasarkan semakan ke atas maklumat yang telah dikemaskini terdapat maklumat yang meragukan dan akan dibuat semakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, beliau mengingatkan peminjam supaya mengemaskini maklumat pendapatan sahih dan benar, yang boleh dibuktikan dengan dokumen sokongan apabila diminta.
Katanya, memberikan maklumat yang tidak benar adalah salah dan peminjam boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Wan Saiful sebelum ini dilaporkan berkata peminjam berkenaan perlu mengemas kini maklumat pendapatan selewat-lewatnya pada 25 Julai melalui www.ptptn.gov.my di ruangan ‘Pengemaskinian Maklumat Pendapatan’.
Ini bagi membolehkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan manifesto pilihan raya yang menyentuh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi peminjam yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan.
Sumber: Bernama