Tujuh tahun lalu Faziani Rohban bukan sesiapa. Hanya seorang suri rumah yang gigih menjana pendapatan dengan menjual produk secara online.
Tapi siapa menyangka satu masa nanti beliau menjadi usahawan wanita berjaya dan mengukir nama sebagai pengasas produk kecantikan popular di tanah air iaitu Dnars.
Semakin dikenali sejak meletakkan produknya sebaris dengan jenama lain yang mengiklan di media elektronik, perjuangan Faziani untuk meraih status ini melalui banyak liku-liku terlebih dahulu.
Seperti wanita kelantan lain dia yang turut minat berniaga bermula dengan menjual kain pasang dan barangan kosmetik selepas mendirikan rumah tangga dan berhijrah ke ibu kota.
Tiga tahun berhempas-pulas mencari rezeki melalui perniagaan atas talian, sedikit demi sedikit Faziani menyimpan duit keuntungan untuk membuka sebuah salun kecantikan.
Malangnya, ia cuma bertahan seketika apabila salunnya dipecah masuk perompak. Kekecewaan yang dihadapinya bukan kepalang. Bagaikan jatuh ditimpa tangga, Faziani bukan sekadar berdepan kerugian dalam perniagaan malah saat itu juga perkahwinannya mengalami kegagalan.
“Selepas bercerai saya meneruskan hidup bersama 3 orang anak. Waktu itu saya tidak memiliki sebarang harta. Tiada rumah mahupun kereta. Tapi hati ini cekal.
“Ketika bercerai dengan bekas suami saya tidak mahu duit daripadanya dan percaya saya mampu bina hidup sendiri dengan tulang empat kerat saya ini.
“Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya. Segala susah senang saya hadapi seorang diri. Dalam kalangan adik-beradik, saya disifatkan yang paling degil dan keras kepala sebab tidak mudah mengalah. Lebih-lebih lagi jika saya benar-benar mahukan sesuatu.
Selepas salun saya dirompak, saya kembali kumpul modal untuk mengeluarkan produk sendiri. Semua barangan kemas habis saya gadai.
Dengan modal permulaan RM20 000, saya laburkan duit tersebut untuk mengeluarkan produk sabun badan. Dari sinilah bermulanya Dnars,”ujar Pengarah Urusan Rohban Trade Sdn Bhd ini.
Mengambil nama singkatan anak tersayang, Irdiena, produk yang dahulunya dipandang rendah kini mula berkembang pesat sehingga melahirkan rangkaian produk baru termasuk minuman dan makanan sunnah.
Lebih manis, Dnars kini telah menembusi beberapa negara Asia termasuk Indonesia, Brunei dan Singapura.
Walau pun sudah mengecap keselesaan hasil titik peluhnya, tapi Faziani yang mendirikan rumah tangga sekali lagi bersama Ahmad Shah Rizal Ibrahim tidak sesuka hati berbelanja walaupun boleh berbuat demikian.
“Tiga tahun memasarkan Dnars barulah saya dapat membeli barangan yang saya idamkan. Untuk kepuasan diri, buat pertama kalinya saya beli beg tangan Chanel menggunakan wang hasil titik peluh selama ini.
“Ketika susah dahulu saya juga selalu pasang niat hendak tolong orang susah dan bawa ibu bapa pergi ke Mekah dengan mengikuti pakej yang paling mahal.
“Syukur kepada Allah, kini saya dapat bawa keluarga, mak cik dan mertua ke sana setiap tahun. Untuk tahun ini saya turut bawa pekerja saya lebih kurang 40 orang untuk mengerjakan umrah bersama-sama,”ungkap Faziani.
Sumber : Karangkraf