KOTA BHARU 5 Dis. – Semangat kumpulan tiga penunggang kapcai ‘Gi Mekoh Nga Mutor’ setelah lebih sebulan pengembaraan semakin membara dan kini sudah melewati perjalanan sejauh 6,280 kilometer sejak bermula 3 November lalu.
Ketua kumpulan, Diami Yusoff, 60, berkata, mereka kini berada di hari-hari terakhir di India sebelum dijangka memasuki sempadan Pakistan paling awal esok.
Diami berkata, dia bersama dua rakannya, Mohamad Zalani Zulkifli, 64, dan Mohamad Fadhli Ab Rashid, 40, tiba di Shimla iaitu sebuah daerah kawasan tanah tinggi di negeri Himachal Pradesh sebelah utara India kelmarin.
“Kami sempat melawat Taj Mahal di Agra pada Khamis lalu dan meluangkan masa setengah hari di situ, hajat kami bergambar dengan motosikal dan bendera Malaysia serta Kelantan di hadapan bangunan yang menjadi antara tujuh keajaiban dunia ini bagaimanapun tidak kesampaian kerana tidak mendapat kebenaran.
“Kami juga singgah ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan mendapat layanan yang sangat mesra daripada Pesuruhjaya Tinggi, Datuk Hidayat Abdul Hamid, isterinya dan kakitangan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sementara itu, Mohamad Fadhli pula berkata, suhu di Shimla sangat sejuk iaitu negatif 2 celsius sehinggakan dia terpaksa tidur di bawah tilam.
“Saya pakai baju tiga lapis dan tilam di hotel pula menjadi selimut, ada rakan penunggang India memberitahu suhu pada tahap ini biasanya menandakan salji akan turun tetapi apabila saya menjenguk di luar tingkap di sebelah pagi tidak kelihatan salji, agaknya bukan rezeki kami,” katanya.
Mohamad Fadhli memberitahu, kesempatan melawat Taj Mahal memberi satu kepuasan yang cukup tinggi bagi mereka kerana bangunan batu marmar itu sebenarnya bukan sekadar satu monumen cinta Shah Jahan kepada Mumtaz.
“Pembinaannya yang bermula pada tahun 1632 melangkaui teknologi zaman itu dan sebenarnya menjadi bukti kehebatan dan kebijakan orang Islam yang memerintah India ketika itu.
“Kami masuk ke tempat bersemadi Mumtaz dan Shah Jahan dan menyedekahkan Al Fatihah serta mendoakan keampunan untuk kedua-duanya sebagaimana sepatutnya orang Islam, semasa berada di situ baru kami sedari empat menara tinggi Taj Mahal sebenarnya dibina condong sedikit untuk mengelak ia jatuh menghempap bangunan kompleks utama jika berlaku gempa bumi,” katanya.