Pemain tengah Kelantan United, Mohd Bahdri Radzi membayangkan masih belum mahu bersara daripada kancah bola sepak negara.
Sebaliknya, bekas kapten Kelantan itu berharap dia masih mampu untuk menabur bakti bersama pasukan yang disertai walaupun usianya akan menjangkau 38 tahun musim depan.
“Sasaran musim depan saya tidak pasti macam mana tapi harap dapat beraksi lagi. Namun, kita semua kena sedar saingan di Liga M3 dan Liga Perdana cukup berbeza dan perlu berusaha dengan lebih keras.
“Saya rasa tidak mustahil kami satu pasukan mampu untuk membawa nama Kelantan United ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.
Kelantan United muncul juara Liga M3 musim ini selepas mengumpul 66 mata dengan penyerahan Piala Liga M3 2019 berlangsung sejurus berakhir perlawanan antara pasukan itu dan Armed Forces FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Selain itu, Bahdri atau lebih dikenali sebagai Piya menyifatkan kejayaan pasukannya menjulang trofi Liga M3 sebagai mengubat kembali kerinduan selepas sekian lama tidak merasai aura kemenangan dalam kariernya.
Bekas pemain kebangsaan itu turut berterima kasih kepada jurulatihnya, Zahasmi Ismail kerana memberi peluang untuknya beraksi bersama Kelantan United selepas bergelut dengan pelbagai masalah termasuk sewaktu bersama Perlis pada awal musim.
“Mana-mana penyokong baik Kelantan atau Kelantan United tetap sama, tetap kuat.
“Aura penyokong Kelantan ini begitu kuat sebab apabila kita sudah dapat satu piala ini, mereka sanggup datang dari jauh untuk menyokong.
“Sudah lama saya tidak merasai aura seperti ini bersama penyokong di stadium dan puas apabila dapat julang trofi pada malam ini (semalam),” katanya.
Sumber: BH Online