KOTA BHARU: Selatan Thailand mahu mengukuhkan kerjasama antara peniaganya dan peniaga dari Malaysia yang dilihat mempunyai potensi untuk meningkatkan penjanaan ekonomi bagi kedua-dua pihak.
Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu, Mongkol Sinsomboon, berkata kedua-dua negara perlu mewujudkan kerjasama yang lebih erat terutamanya dalam sektor perdagangan.
“Perdagangan dan pelaburan adalah komponen utama ekonomi Selatan Thailand dan Malaysia. Kedua-dua negara perlu memaksimumkan kelebihan ekonomi melalui kedudukan geografi mereka yang berhampiran, selain budaya dan sejarah.
“Kami turut mengalu-alukan peniaga Melayu untuk memasuki pasaran Thailand untuk memasarkan apa yang mereka (peniaga) ada,” katanya pada sidang media di Pejabat Konsulat Thailand di sini semalam.
Turut hadir Presiden Dewan Perniagaan China Kelantan, Yap Heng Or dan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Negeri Kelantan, Mohd Ali Amin Ab Latif.
Sementara itu, Yap berkata pameran perdagangan ‘Southern Border Trade Fair’ akan diadakan selama tiga hari mulai 26 April ini di Stadium Maharaj, Sungai Kolok, Narathiwat untuk memberi peluang kepada peniaga dari kedua-dua negara menjalin kerjasama perdagangan.
Beliau berkata, sebanyak 100 gerai jualan dibuka kepada peniaga dari Malaysia dan Thailand pada pameran tersebut.
“Semua produk Thailand termasuk makanan halal dan pakaian akan dijual pada acara itu,” katanya. – BERNAMA