Aktiviti ekonomi dan kegiatan harian penduduk di pekan Rantau Panjang berjalan seperti biasa biarpun paras air Sungai Golok dilaporkan semakin hampir mencecah paras bahaya 9 meter.
Tinjauan mendapati, laluan utama pekan ini masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Walau bagaimanapun, beberapa kawasan rendah seperti Kampung Jeram Perdah, Lancang, Bongo, Kelawar, Jejawi, Teresan dan Putat Tujuh masih ditenggelami air sejak semalam.
Menurut laman sesawang infobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok kini berada pada paras 8.84 meter iaitu 0.16 menghampiri paras bahaya 9 meter.
Tiada pusat pemindahan dibuka setakat pukul 5 petang ini.
Seorang penduduk, Mohd. Nasran Nasuha berkata, setakat ini pekan Rantau Panjang masih beroperasi seperti biasa namun mereka sentiasa memantau keadaan paras Sungai Golok dan akan segera berpindah apabila keadaan semakin buruk.
Sumber: Utusan Online