KOTA BHARU: Semua premis perniagaan di Kota Bharu dibenarkan beroperasi sehingga jam 7 malam sahaja berkuatkuasa hari ini, susulan Perintah Larangan Pergerakan bagi menangani COVID-19.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf, berkata premis dibenarkan beroperasi bermula jam 7 pagi hingga 7 malam.
Katanya, antara premis yang perlu menutup operasi bermula 7 malam ialah kedai makan termasuk perkhidmatan penghantaran (delivery), pandu lalu (drive-thru) dan bungkus (takeaway) selain pasaraya, kedai runcit, kedai serbaneka 24 jam, stesen minyak, klinik serta farmasi, manakala pasar awam pula sehingga 2 petang.
“Arahan ini mula berkuatkuasa pada hari ini selaras dengan Akta 342, Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 dan tertakluk kepada perubahan terkini dari semasa ke semasa.
“Kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan ini adalah satu kesalahan jenayah dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau memohon kepada semua pihak mematuhi arahan ini bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dikenakan ke atas mereka selain mengekang penularan virus COVID-19.
“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac, kita sentiasa mengadakan rondaan di premis-premis perniagaan di sekitar Kota Bharu.
“Setakat ini, pihak kami masih belum mengambil tindakan atau mengeluarkan saman kepada peniaga sebaliknya memberi nasihat kepada mereka mematuhi arahan yang dikuatkuasakan,” katanya.
– Berita Harian