Titah Rasmi KDYMM Al-Sultan Kelantan Sultan Muhammad V Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan.— 22 Rejab 1441H/ 17 March 2020.
Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Kerajaan semalam, KDYMM Al Sultan Kelantan ingin menyeru kepada semua rakyat Kelantan supaya akur dan mematuhi perintah yang dikeluarkan dalam membantu usaha membendung penularan COVID-19.
KDYMM Al Sultan Kelantan menyeru semua rakyat Kelantan supaya bertenang dan tidak membeli barang keperluan lebih dari yang diperlukan supaya bekalan makanan di pasaran mencukupi untuk semua rakyat.
Baginda Tuanku mencadangkan supaya kedai-kedai menjual barang keperluan merancang penjualan supaya bahan keperluan harian adalah mencukupi. Semoleknya, Baginda menyarankan agar kedai-kedai yang menjual barang keperluan menyediakan waktu khas untuk warga emas dan golongan yang mudah terdedah kepada jangkitan untuk membeli dalam persekitaran yang selamat.
KDYMM Al Sultan Kelantan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh kakitangan Kementerian Kesihatan terutama sekali petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus bekerja tanpa menghiraukan penat dan lelah untuk mengekang penularan COVID-19.
Baginda turut menekankan bahawa peranan semua pihak adalah sangat penting dan supaya seluruh rakyat Kelantan menjaga kesihatan masing-masing, terutama sekali ahli keluarga, warga emas dan golongan yang mudah terdedah dan sentiasa bertimbang rasa terhadap jiran sekeliling.
Baginda menggesa semua yang menghadiri Ijtimak Jord Qudama’ & Ulama Malaysia di Masjid Sri Petaling yang belum menjalani pemeriksaan supaya segera ke hospital yang disenaraikan untuk menjalani ujian saringan.
Rakyat Kelantan disarankan untuk hanya mendapatkan maklumat sahih dari saluran rasmi Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan serta Kerajaan Negeri dan tidak terburu-buru untuk mempercayai berita tular yang belum disahkan.
KDYMM Al Sultan Kelantan mengajak semua rakyat untuk sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT supaya penularan COVID-19 ini akan dapat dikawal dan keadaan di Malaysia akan pulih dan kembali seperti biasa. Semoga tindakan kolektif yang diambil oleh masyarakat akan dapat segera melandaikan puncak jangkitan (flatten the curve).