KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) menasihatkan pasangan yang bakal berkahwin dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan supaya menangguhkan majlis akad nikah sehingga arahan itu tamat.
Penolong Ketua Pengarah Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Keluarga Islamnya, Mohd Suhaimi Mohamad, berkata bagaimanapun bagi mereka yang sudah mendapatkan kebenaran pegawai agama dan tetap mahu majlis akad nikah diteruskan, ia boleh dilakukan.
“Di sini, kami hanya menasihat dan menyarankan sekiranya mereka yang bakal berkahwin bermula esok hingga 31 Mac supaya jika boleh menangguhkan terlebih dahulu.
“Dalam saat ini, semua pihak perlu sedikit bersabar kerana kita terikat dengan peraturan. Bukan sahaja bakal pasangan pengantin, malah peniaga yang terpaksa menutup premis juga perlu bersabar demi kebaikan semua.
“Bagaimanapun, mereka yang sudah mendapat kebenaran, tidak menjadi masalah untuk melangsungkan majlis akad nikah, namun jangan terlalu ramai yang hadir untuk proses berkenaan bagi mengelak timbul masalah,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, satu surat pekeliling daripada JAHEAIK yang meminta mana-mana pasangan ingin berkahwin dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, diminta hadir ke pejabat agama terdekat untuk permohonan kebenaran berkahwin.
Berdasarkan surat berkenaan, permohonan kebenaran berkahwin itu hanya diluluskan bagi pasangan yang sudah memenuhi syarat keperluan termasuk menghadiri kursus pra perkahwinan, saringan HIV dan disahkan anak mukim oleh imam mukim masing-masing.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengumumkan kerajaan memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai tengah malam ini sehingga 31 ini, di seluruh negara.
Beliau berkata, perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
Katanya, perintah kawalan pergerakan ini membabitkan pertamanya larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
– BH Online