TANAH MERAH: Sebanyak sejuta kenderaan dijangka masuk ke Kelantan sempena cuti persekolahan dan sambutan Aidilfitri kali ini, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.
Beliau berkata, ini berikutan sambutan hari raya disambut dalam musim cuti sekolah yang panjang dan berharap kenderaan memasuki negeri ini secara berperingkat bermula awal cuti sekolah sehingga sambutan Aidilfitri.
“Kita menasihatkan pengguna jalan raya memandu cermat dan berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Orang ramai perlu mementingkan aspek keselamatan di jalan raya dan perlu cukup rehat sebelum memulakan perjalanan jarak jauh,” katanya selepas Program Ops Selamat peringkat Kelantan di Taman Bandar Kota Harmoni, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengguna juga diminta tidak berlumba kerana kenderaan banyak di jalan raya pada musim perayaan.
Sementara itu, Hasanuddin berkata, kes pecah rumah tahun ini berlaku peningkatan 80 peratus berbanding tahun lalu.
“Susulan itu, saya menasihatkan penduduk yang mahu meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung perlu mengambil langkah keselamatan.
“Mereka diminta membuka lampu bagi memberi isyarat seolah-olah ada penghuni di rumah bagi mengelakkan kediaman dipecah masuk,” katanya.