KOTA BHARU: Seramai 19 bayi merdeka dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) Kota Bharu sejak awal pagi ini.
Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Hashim Mohamed berkata, bayi pertama dilahirkan pada jam 11.30 malam semalam sehingga jam 7 pagi ini menjadikan keseluruhan seramai 19 bayi.
Katanya, tujuh bayi dilahirkan bermula jam 12.01 tengah malam hingga 7 pagi tadi.
“Sempena sambutan Hari Kebangsaan, HRPZ II mengadakan sambutan di hospital dengan meraikan kelahiran bayi yang baru dilahirkan di sini malam tadi sehingga pagi ini.
“Sambutan bayi merdeka HRPZ Kota Bharu ini adalah acara tahunan hospital sebagai sebagai tanda kesyukuran terhadap kelahiran generasi baru,” katanya.
Majlis disempurnakan Pengarah HRPZ Kota Bharu, Datin Dr Selasawati Ghazali.
Turut hadir, Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi HRPZ II Dr Sukri Ahmad.
Sementara itu, seorang ibu bayi merdeka, Aini Fazira Adanan 35, berkata dia melahirkan bayi lelaki jam 12.07 tengah malam tadi.
“Saya berbangga dapat melahirkan bayi merdeka ini dan bercadang memberi nama anak sesuai dengan semangat kemerdekaan,” katanya.