PASIR MAS 31 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri ini yang berlangsung di Stadium Mini Pasir Mas, di sini hari ini berjaya mengumpulkan kira-kira 5,000 rakyat Kelantan bagi menunjukkan solidariti, perpaduan serta semangat patriotik kepada negara.
Walaupun program bermula pukul 8.30 pagi, rata-rata pengunjung sudah membanjiri kawasan stadium tersebut sejak pukul 7.30 pagi.
Perasmian sambutan bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku’ tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob. Yang turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
Sambutan itu dimeriahkan dengan perarakan 62 kontinjen terdiri daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Jajahan, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya menyeru rakyat supaya bukan sahaja mengenang jasa negarawan, malah mengingati sumbangan para ulama yang menjadi benteng kepada akidah umat Islam ketika negara dijajah.
“Di samping jasa para negarawan kita yang berusaha mencapai kemerdekaan negara, peranan ulama juga tidak dapat dinafikan dalam perjuangan yang mulia ini,” katanya.
Beliau juga mengingatkan generasi sekarang supaya berwaspada dengan ancaman penjajahan moden yang lebih halus iaitu menerusi media baharu.
“Arus globalisasi dan dunia tanpa sempadan hari ini menjadikan pihak tertentu lebih mudah mempengaruhi kuasa politik, ekonomi dan sistem sosial umat Islam.
“Oleh itu, umat Islam perlu berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan hidup bermasyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE