KOTA BHARU: Seramai 68 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019 di Kelantan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, meningkat sembilan calon berbanding tahun sebelumnya.
Pada 2018, hanya 59 calon direkodkan cemerlang dengan PNGK 4.00.
Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Mohamad Abd Wahab, berkata sebanyak 51 daripada 59 sekolah bantuan kerajaan yang mendaftar untuk calon STPM memperoleh kelulusan penuh 100 peratus.
“Pencapaian PNGK calon sekolah bantuan kerajaan negeri ini ialah 2.94 berbanding pencapaian peringkat nasional, iaitu 2.77, sekali gus menunjukkan pencapaian negeri mengatasi nasional sebanyak 0.17 mata.
“Peratusan lulus penuh keseluruhan calon di negeri ini ialah 99.57 peratus, sekali gus mengatasi peratusan peringkat nasional sebanyak 1.0 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Majlis Pengumuman Keputusan STPM Tahun 2019 di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, JPN Tunjong di sini, hari ini.
Mohamad berkata, lima calon Kelantan, iaitu Nur Izzati Mat Rodhi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus, Bachok; Siti Aishah Mz Rozalan SMK Ayer Lanas, Jeli; Siti Nazira Sakiam; Fatin Nur Izzati Md Azmi dan Mohamad Hafiza Ismial yang masing-masing dari SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas dipilih pelajar terbaik peringkat nasional.
“Pencapaian sekolah di luar bandar di negeri ini merekodkan keputusan seiring sekolah bandar berikutan pendekatan diambil guru, pentadbir, JPN, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dari segi latihan serta pengkhususan yang diadakan lebih menjurus kepada kecemerlangan.
“Jumlah keseluruhan calon mengambil STPM tahun lalu adalah 3,942,” katanya.
Sumber: Berita Harian