Kelantan dijangka tidak mengalami banjir besar tahun ini berikutan sudah menerima purata hujan 90 peratus.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Marinamarican Abdullah, berkata baki hujan di negeri ini hanya tinggal 10 peratus daripada jumlah keseluruhan 2,700 milimeter (mm).
Katanya, Kelantan mengalami hujan sejak Oktober lalu dalam jumlah enam kelompok.
“Sehingga kini sudah empat kelompok hujan di negeri ini dan bakinya ada dua kelompok lagi. Kita jangka, tiada banjir besar yang akan berlaku seperti tahun lalu.
“Jadi penduduk boleh menarik nafas lega kerana kita akan mengalami hujan biasa atau setempat saja selepas ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Mahligai, di sini.
Beliau berkata, walaupun dijangka tidak banjir besar, namun penduduk diminta sentiasa bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan memandangkan masih berada di musim tengkujuh.
Katanya, JPS sentiasa membuat pemantauan terutama di kawasan rendah atau berbahaya seperti tanah mendap, runtuhan tebing atau jalan.
“Kita akan mengambil tindakan segera untuk membaiki kerosakan bagi mengelakkan bahaya kepada penduduk yang berada di kawasan risiko seperti di tebing sungai atau jalan mendap,” katanya.