PASIR MAS 12 Ogos – Percubaan seorang guru pertanian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedondong mengusahakan tanaman anggur di kawasan halaman rumah berbaloi apabila pohon itu berbuah lebat walaupun ditanam di kawasan beriklim Khatulistiwa.
Wan Mohd. Radzi Wan Salleh, 51, berkata, projek yang diusahakan sejak empat tahun lalu mampu mengeluarkan 350 hingga 400 tangkai anggur untuk sebatang pokok yang sudah matang.
Menurutnya, dia memilih untuk mengusahakan tanaman itu kerana mahu mencabar kemampuan dalam bidang pertanian yang merupakan sebahagian daripada darah dagingnya.
“Anggur merupakan tanaman yang cukup lasak dan mampu tumbuh serta berbuah dalam apa juga keadaan cuaca termasuklah di iklim Khatulistiwa.
“Berbekalkan teknik tanaman yang betul dan pengetahuan, Alhamdulillah anggur saya mampu berbuah dalam tempoh lapan bulan daripada hari pertama ia mulai di tanam,” katanya.
Wan Mohd Radzi memberitahu, anggur yang diusahakannya bukan sahaja berbuah lebat malah rasanya manis menyamai rasa di kawasan beriklim empat musim.
Katanya, dia menggunakan kaedah pengawal atur pertumbuhan untuk menjadikan buah anggur itu manis.
“Melalui kaedah ini saya dapat mengawal cara pembajaan yang betul.
“Teknik ini akan menjadikan buah anggur manis dan menyamai yang ditanam di tanah tinggi atau negara asal,” ujarnya.