Usahawan wanita, Bibi Ramjani Ilias Khan mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama diumum sebagai Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi penggal 2017-2021 pada Kongres Tahunan KAFA ke-63.
Memetik laporan BH Online, Bibi Ramjani memperoleh sebanyak 32 undi sekali gus menewaskan Muhammad Nasir yang juga Naib Presiden KAFA yang memperoleh 19 undi.
Proses pengundian terpaksa dilakukan dua kali selepas jumlah undi diperolehi Bibi Ramjani pada kali pertama sebanyak 32 undi iaitu tidak memenuhi kehendak perlembagaan persatuan yang memerlukan undian majoriti 35 untuk jawatan Presiden.
Bagaimanapun, keputusan pengundian kali kedua membabitkan 52 wakil Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) muktamad memilih Bibi Ramjani sebagai Presiden KAFA.
Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah pada sidang media memaklumkan proses pengundian berakhir jam 6 petang.
Jawatan Naib Presiden, dimenangi tiga calon baharu iaitu, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali; Datuk Nik Izani Nik Ibrahim dan Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir.
Sumber: BH Online