KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyediakan lebih 500 logistik marin bagi menghadapi bencana banjir monsun timur laut di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Mohd Hamdan Wahid berkata, ia termasuk peralatan-peralatan menyelamat di air dan bot yang digunakan sebagai logistik ketika berlaku banjir.
“Selain itu seramai 10,000 anggota turut dibekukan cuti bermula awal November lalu sehingga awal tahun hadapan.
“Kita sudah mengenalpasti negeri yang sering berlaku bencana banjir pada monsun timur laut dan kami sudah bersiap sedia sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Mohd Hamdan berkata, antara negeri yang diberi fokus adalah Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Selain itu kita turut bersiap siaga di negeri Kedah dan Penang. Beberapa kawasan yang sering dinaiki air juga sudah dikesan.
“Anggota dari Selangor dan Kuala Lumpur akan membantu negeri-negeri di pantai timur dan anggota di Perak akan menjadi lapisan kedua di bahagian Utara jika jumlah keanggotaan tidak mencukupi,” katanya.
Menurutnya, pihaknya turut menyediakan logistik udara dari tiga pangkalan udara yang keseluruhan mempunyai tujuh helikopter.
“Ketiga-tiga pangkalan udara iaitu di Miri, Sarawak mempunyai dua helikopter, di Bertam, Pulau Pinang turut mempunyai dua dan di pangkalan udara Subang mempunyai tiga helikopter.
“Semua logistik ini akan digunakan ketika berlaku bencana banjir di kawasan-kawasan yang dikenalpasti,” katanya.
Katanya, JBPM turut bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia bagi membuat persiapan awal.
“Beberapa agensi lain turut terbabit. JB{M akan bergerak mengikut arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Masyarakat dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar ketika musim banjir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.