MACHANG – Rasanya yang masam manis, dengan aroma harum menusuk sudah cukup membuatkan penggemarnya kecur air liur apatah lagi jika dibuat sambal atau jeruk.
Sekali pun dianggap makanan ‘orang tua’, buah binjai atau nama saintifiknya mangifera caesia mendapat sambutan yang mengalakkan di kalangan masyarakat sekali gus mendorong peniaga-peniaga mengusahakan perniagaan buah tersebut setiap kali tiba musim.
Malah, gerai-gerai binjai di laluan Machang-Kuala Krai, Kampung Pangkal Petai di sini seolah-olah menjadi landskap bermusim di daerah ini.
Bukan sahaja menawarkan buah, binjai tersebut turut dibuat jeruk bagi menarik lebih ramai pelanggan dan memberi kemudahan kepada penggemar untuk terus menikmatinya.
Seorang pembantu gerai, Ani Salleh, 54, berkata, ada yang gemar makan begitu sahaja, dijeruk atau dijadikan ramuan masakan tradisi serta pelengkap sambal dan adunan tempoyak.
Katanya, buah binjai yang mula gugur sejak sebulan lalu turut memberikan rezeki tambahan kepada penduduk Kampung Pangkal Petai di sini dengan menjualnya di gerai-gerai di tepi jalan.
“Buah ini bukan sahaja dari Machang tetapi kami turut mendapatkannya dari daerah-daerah lain memandangkan memang setiap tahun, gerai binjai akan dibuka di sini setiap kali musimnya. Orang nak cari binjai memang akan datang ke sini.
“Binjai susah didapati kerana tidak lagi ditanam oleh golongan muda sebaliknya merupakan peninggalan orang tua atau nenek moyang dulu-dulu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.