TUMPAT – Kemunculan buaya di Sungai Golok meresahkan penduduk di sini yang percaya ia adalah petanda bah besar akan berlaku.
Penduduk Kampung Derdap, Siti Bidah Bongsu, 90, berkata, dia mengakui bah besar atau kecil adalah kuasa ALLAH SWT, namun petanda alam dengan kemunculan buaya di Sungai Golok di belakang rumahnya tidak boleh diabaikan.
Menurutnya, sejak kebelakangan ini buaya kerap timbul di Sungai Golok membuatkan dia berasa tidak sedap hati.
“Kalau buaya timbul, itu tandanya bah besar nak datang.
“Saya bukan taasub mempercayainya, tapi setiap kali nak bah besar, begitulah situasi. Kemunculan buaya ini sama seperti tahun 2014, bah besar melanda Kelantan,” katanya.
Menurutnya, dia ada meluahkan kebimbangan itu kepada anak-anaknya dan meminta mereka membeli bekalan budu dan garam sebagai persediaan.
Katanya, budu sudah memadai untuknya sekiranya terputus bekalan makanan pada musim banjir.
“Saya juga beli garam lebih, nanti boleh perapkan daging. Sebabnya saya teringat banjir besar tahun 1967, mujur ada garam lebih nak perap daging lembu, kambing yang terpaksa disembelih kerana hampir mati lemas,” katanya.