KOTA BHARU – Empat jajahan di Kelantan Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan Tanah Merah) mencatat bacaan suhu panas peringkat berjaga-jaga, iaitu sekitar 35 hingga 37 darjah Celsius bermula semalam, kata Pengarah Jabatan Meteorologi Kelantan, Rabiah Zakaria.
“Daripada pemantauan yang dilakukan semalam, jajahan Kuala Krai mencatat bacaan suhu sekitar 37 darjah Celsius, sekali gus menjadi jajahan paling panas di Kelantan setakat ini manakala tiga lagi jajahan iaitu Gua Musang, Jeli dan Tanah Merah, melebihi 35 darjah Celsius,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Rabiah berkata bulan Mac merupakan penghujung Monsun Timur Laut dan kebanyakan tempat lazimnya kurang menerima hujan bagi tempoh yang lebih panjang menyebabkan cuaca panas dan kering.
Katanya, lazimnya cuaca panas akan mula berkurangan apabila berlaku peralihan monsun pada bulan April sebelum memasuki Monsun Barat Daya bermula Mei.
Bagaimanapun, katanya, sebagai langkah berjaga-jaga, Jabatan Meteorologi akan terus membuat pemantauan bagi mengesan suhu semasa di negeri ini.
Sementara itu, beliau berkata orang awam dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar selain mengambil air yang mencukupi bagi mengelak sebarang masalah kesihatan.
Selain itu, katanya, aktiviti pembakaran secara terbuka juga perlu dihentikan dalam tempoh cuaca panas ini.
Kelantan mengalami cuaca panas sejak beberapa minggu lepas walaupun masih berada dalam musim Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir hujung bulan ini.
– BERNAMA