KOTA BHARU: Cuti pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dibekukan sehingga penghujung tahun ini sebagai persiapan menghadapi banjir.
Pengarah JBPM Kelantan, Nazili Mahmood, berkata langkah itu diambil untuk memastikan bomba dapat memberi perkhidmatan terbaik.
Katanya, bagaimanapun keadaan banjir di negeri ini masih lagi terkawal dan belum ada pemindahan.
“Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid sudah mengeluarkan arahan supaya cuti dibekukan sehingga 31 Disember ini untuk hadapi banjir.
“Kini, 1,475 keseluruhan bomba, termasuk bomba bantuan dan sukarela negeri ini sudah bersedia untuk menjalankan operasi di kawasan masing-masing,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya sudah membuat persiapan rapi dari segi logistik dan keanggotaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Biarpun keadaan masih terkawal, mereka kini sudah ditempatkan di lokasi strategik dan boleh digerakkan pada bila-bila masa.
“Kita memiliki lebih 51 bot , lapan lori, empat pacuan empat roda dan 1,242 unit jaket keselamatan yang digunakan untuk operasi menyelamat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Nazili turut menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa memantau pergerakan anak-anak.
“Kita sedar biasanya ketika musim tengkujuh masih ada yang bermain air banjir.
“Pastikan mereka bermain di kawasan selamat dengan memakai jaket keselamatan,” katanya.