KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan menyifatkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan memberi kesan besar kepada majoriti rakyat Kelantan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata impak berkenaan khususnya dalam peluang pekerjaan yang berkaitan dengan pembinaan dan pengangkutan.
Katanya, kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas persetujuan membangunkan ECRL di Kelantan.
“Sebagaimana dimaklumkan bahawa dua stesen akan dibangunkan di negeri ini, iaitu stesen Kota Bharu dan Tok Bali.
“Ia juga langkah positif dalam merancakkan tempo ekonomi negeri dengan adanya kemudahan pengangkutan yang lebih efisien.
“Secara langsung ia akan mengubah landskap keusahawanan menjadi lebih kondusif dan kompetetif untuk semua warga Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
Ahmad berkata, seandainya ECRL itu diurus baik dan mengikuti piawaian sebenar, ini akan memberi Malaysia satu lagi kemudahan bertaraf antarabangsa yang akan memacu negara ini menjadi negara yang membangun.
Akhbar sebelum ini melaporkan, projek ECRL kerajaan terdahulu yang tertangguh kerana beban kewangan yang terlalu tinggi akan diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion.
Jabatan Perdana Menteri berkata, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL itu berjaya dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion, berbanding kos asalnya pada RM65.5 bilion.