Seorang penjual air kelapa berputih mata apabila kerugian RM100 selepas diperdaya oleh seorang remaja berusia 20-an yang membeli dengan menggunakan wang palsu di gerainya di Wakaf Bharu, di sini semalam.
Mangsa, Jaafar Ismail, 52 berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.30 petang apabila beliau didatangi seorang remaja menaiki motosikal jenis Honda EX5 untuk membeli dua gelas air kelapa berharga RM4.
“Selepas pakcik membungkus air kelapa, remaja itu terus membayar dengan menghulurkan wang bernilai RM100 dengan berkeadaan bergulung.
“Pakcik tidak perasan wang itu palsu serta terus memberi baki sebanyak RM96 lagi kepadanya. Remaja berkenaan terus ke motosikalnya dan memecut laju,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Menurutnya, dia kehilangan modal untuk terus menjalankan perniagaan kerana kejadian tersebut.
Katanya, sebelum itu pada bulan November lalu, dia juga pernah ditipu dengan wang palsu bernilai RM50 oleh seorang warga emas yang membeli sebungkus air kelapa.
Jelasnya, dia sudah berhati-hati susulan kejadian itu namun masih terkena juga.
“Nak buat macam mana bukan rezeki pak cik dan semoga Tuhan memberi hidayah kepada mereka yang telah perdayakan pakcik.
“Pakcik tidak membuat laporan polis tetapi jika pesalah mengetahui kejadian ini sila tampil bagi balik duit pakcik, itulah modal pakcik, berniaga kecil-kecilan untuk tampung hidup,” ujarnya.
Jaafar memberitahu, dia sudah dua tahun berniaga di Wakaf Bharu dan banyak ditimpa musibah termasuk kecurian buah kelapa sebanyak 130 biji bernilai RM200 pada bulan Disember lalu.
Sumber: Utusan Online