KOTA BHARU: Kelantan dijangka menerima 45 peratus daripada 2,700 milimeter (mm) purata taburan hujan tahunan untuk tiga bulan terakhir tahun ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal, berkata mengikut data Jabatan Meteorologi (Meteorologi) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dijangkakan hujan lebat akan berlaku pada November dan Desember ini.
Beliau berkata, berikutan itu, sebanyak 607 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menempatkan 198,000 mangsa banjir akan dibuka di seluruh Kelantan terutama Kota Bharu, Kuala Krai dan Pasir Mas sebagai persediaan jika bencana itu berlaku.
“Dari segi aset, sebanyak 207 bot disediakan selain 4,471 anggota keselamatan daripada pelbagai agensi seperti bomba, polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah bersiap sedia untuk menghadapi banjir.
“Walaupun mengikut data Meteorologi dan JPS, baki jumlah purata taburan hujan tahunan itu agak membimbangkan, mereka yakin banjir tidak akan seteruk seperti bencana banjir besar pada 2014, sebaliknya mungkin sama seperti tahun lalu.
“Mengikut ramalan, hujan lebat pada November akan berlaku di kawasan pantai manakala Disember pula di kawasan pedalaman seperti Kuala Krai dan Machang, bagaimanapun pihak keselamatan sudah melakukan persiapan secukupnya sepanjang musim tengkujuh yang bermula November ini hingga Mac tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Katanya, selain persiapan dari segi fizikal, pihaknya turut memohon supaya setiap masjid di negeri ini melakukan solat hajat dan berdoa supaya tidak berlaku musibah banjir.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup, berkata pihaknya menerima peruntukan RM1 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan RM300,000 daripada kerajaan negeri untuk persediaan bekalan makanan serta keperluan di PPS bagi menghadapi banjir tahun ini.
“Sebahagian bekalan makanan ini akan mula dihantar ke 207 pangkalan hadapan, 17 mini depo dan satu depo besar mulai hujung bulan ini. Penambahan bekalan makanan ini akan dilakukan bergantung kepada jumlah mangsa banjir yang akan ditempatkan di PPS,” katanya.