KOTA BHARU 14 Okt. – Polis Kelantan menegur orang ramai supaya tidak terus mengamalkan aktiviti berjual beli makanan di tengah-tengah jalan kerana perbuatan tersebut dianggap sebagai salah satu kesalahan.
Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sejak kebelakangan ini, trend menjaja makanan berhampiran persimpangan lampu isyarat serta di tengah-tengah jalan yang sibuk di sekitar pusat bandar didapati semakin menjadi-jadi.
Kata beliau, urusan jual beli tersebut sebenarnya bukan sahaja membahayakan keselamatan penjaja dan pengguna jalan raya, malah menyebabkan gangguan terhadap kelancaran aliran trafik.
“Saya minta kerjasama semua pihak yang terlibat, berhenti menjaja di atas jalan raya. Penjaja dan pembeli boleh diambil tindakan kerana mereka menghalang lalu-lintas.
“Dengan kata lain, orang yang menjual boleh disaman, orang yang membeli pun boleh disaman. Aktiviti ini mungkin dibenarkan di Indonesia, tapi kita tidak boleh ikut negara lain kerana negara ini ada peraturan sendiri,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Dialog Ketua Polis Kelantan dengan ahli-ahli Malaysian Palm Oil Association (MPOA) cawangan Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, aktiviti jual beli makanan di tengah-tengah jalan juga boleh dianggap menganiayai pengguna jalan raya lain yang tidak terlibat dengan urusan tersebut namun terpaksa menunggu akibat gangguan terhadap kelancaran aliran trafik.
“Kita bukan nak halang orang ramai, khususnya anak muda cari rezeki, tapi perkara ini salah di sisi undang-undang. Biarlah rezeki yang kita cari dan bawa balik itu ‘manis’, bukannya hasil daripada aktiviti bertentangan dengan peraturan,” katanya.
Sejak kebelakangan ini, jalan utama di sekitar bandar ini menjadi seakan-akan jalan raya di Indonesia apabila dipenuhi penjaja jalanan yang menjual pelbagai jenis makanan ringan seperti burger, bebola daging, piza dan minuman.
Mereka menjaja makanan tersebut dari kereta ke kereta ketika lampu isyarat di persimpangan bertukar merah.