KOTA BHARU – Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu terus merayu kerajaan terutama Kementerian Pendidikan supaya tidak meneruskan proses pemansuhan dan penukaran fungsi institusi itu kepada Kolej Vokasional.
Pengerusi Pasukan Bertindak IPG Kota Bharu, Abd Razak Shafie berkata, proses pemansuhan dan penukaran institut berkenaan berjalan secara berperingkat-peringkat dan kini IPG tersebut hanya tinggal 200 penuntut berbanding 1,000 penuntut pada tahun-tahun sebelum ini.
“Selepas keputusan untuk menutup atau menukar fungsi IPG ini dibuat, kali terakhir kemasukan pelajar di IPG hanya dibuat pada tahun 2016 dan sehingga kini hanya tinggal 200 penuntut dengan 150 pensyarah.
“Angka yang terlalu kecil berbanding 1,000 jumlah pelajar yang kebiasaannya menuntut IPG ini pada saban tahun. Hal ini juga kerana IPG Malaysia bertindak menghantar pelajar dalam jumlah yang kurang serta membekukan kemasukan pelajar baharu ke institusi ini,” katanya ditemui pada Majlis Forum Malaysia Baharu: Harapan Negara dan Cabaran Pendidikan di Kelantan di IPG itu, tadi.
Katanya, pihaknya juga menggesa kerajaan terutama Kementerian Pendidikan membuat semakan semula terhadap keputusan pemansuhan dan penukaran fungsi institusi terbabit yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.
“Proses memilih penutupan sembilan IPG termasuk kampus Kota Bharu ini tidak dilakukan secara adil menyebabkan ada negeri yang hanya ada satu IPG ditutup terus seperti di Kota Bharu sebaliknya negeri lain yang mempunyai dua hingga tiga IPG pula dikekalkan.
“Sepatutnya, IPG Kota Bharu yang merupakan IPG kedua tertua berusia 64 tahun ini dikekalkan kerana sejarahnya dan lokasinya juga strategik berada di kawasan luar bandar yang mana persekitarannya kondusif untuk para penuntut belajar,” katanya.
Beliau berkata, dari sudut kos sara hidup juga, Kelantan masih lagi rendah berbanding di Kuala Lumpur atau bandar-bandar besar yang lain selain mempertimbangkan semula pertukaran fungsinya kepada Kolej Vokasional yang sudah banyak terdapat di Kelantan.
“Alasan mahu tukar kepada Kolej Vokasional kerana keperluan kepada kemahiran, di Kota Bharu sudah ada enam kolej vokasional, dua politeknik, Institut Latihan Perindustrian, 19 Giat Mara dan tiga Kolej Komuniti yang kesemuanya menawarkan pendidikan kemahiran, malah bersebelahan IPG ini sendiri ada koleh vokasional.
“Perkara ini perlu dilihat semula kerana dirasakan tidak masuk akal untuk mengorbankan satu IPG yang merupakan institusi awam kepada kolej kemahiran yang sudah terlalu banyak di Kelantan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan terus melakukan pelbagai usaha dan terus mengemukakan rayuan kepada pihak berkenaan sehingga tempoh 2020 rayuan dibenarkan agar IPG ini terus kekal untuk melahirkan guru bagi murid sekolah rendah.
“Di Malaysia ada 7,771 sekolah rendah dan kalau dikira setahun seorang guru bersara, maka ada 7,771 kekosongan sedangkan pengambilan IPG seluruh Malaysia hanya 3,200 setahun dengan 50,000 calon yang memohon.
“Murid di dalam kelas juga berterusan jumlahnya antara 40-45 orang berbanding hasrat 25-30 murid sahaja yang dimahukan kerajaan. Bagaimana boleh kata lambakan lepasan dari IPG, jadi pihak kami akan teruskan usaha sehingga terakhir akan kemukakan rayuan kepada Agong berhubung isu ini,” katanya.