KOTA BHARU — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mempertingkatkan lagi penguatkuasaan di negeri ini dengan memberi tumpuan kepada tujuh kesalahan utama lalu lintas sempena Operasi Tahun Baru Cina 2020 (Ops TBC 2020) selama dua minggu yang telah bermula sejak Sabtu lepas.
Pengarah JPJ Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata, tujuh kesalahan tersebut ialah tidak mematuhi lampu isyarat, memotong garisan berkembar, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, memandu di lorong kecemasan, memandu di lorong kanan secara berterusan, tidak memakai tali pinggang keledar dan juga memotong barisan.
“Penguatkuasaan ini bagi mengurangkan kadar statistik kemalangan jalan raya serta membudayakan pemanduan secara berhemah dan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan pengguna.
“Pihak kami akan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah lalu lintas memandangkan statistik pada tahun 2018 dan 2019 menunjukkan angka kemalangan masih tinggi,” kata kepada pemberita selepas melakukan pemantauan penguatkuasaan di Terminal Bas Lembah Sireh di sini.
Hanif berkata, tarikh larangan pemanduan kenderaan barangan musim perayaan Tahun Baru Cina 2020 juga telah ditetapkan pada 23 hingga 24 Jan serta 27 hingga 28 Jan selepas perayaan itu.
“Ops TBC 2020 melibatkan 189 anggota penguatkuasaan dan 29 buah kenderaan dari semua bahagian JPJ negeri serta 18 anggota yang menyamar sebagai penumpang bas ekspres laluan utama di Semenanjung Malaysia.
— BERNAMA