PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mendedahkan sudah melunaskan hutang lapuk RM2.6 juta melibatkan tunggakan gaji bekas pemain tempatan dan import yang diwarisi daripada zaman pentadbiran terdahulu.
Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, jumlah tersebut tidak termasuk RM600,000 yang perlu dijelaskan dalam masa terdekat sekiranya tidak mahu berdepan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
“Bukan sahaja ke Liga Perdana malah mungkin boleh (diturunkan) ke Liga FAM dan sebab itu kita terpaksa bekerja keras membayar hutang tidak kurang RM600,000 melibatkan kes Fifa ini.
“Saya telah hubungi pemain-pemain tersebut untuk berunding dan mungkin kita akan bayar tunggakan gaji ini secara berjadual,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu, malam semalam.
Kafa berdepan tuntutan hutang membabitkan dua bekas pemain import musim 2016 iaitu Jonathan Lucca dan Dramane Troare serta bekas jurulatih kecergasan, Sebastian Knapic.
Terbaru, badan induk itu turut diarahkan FAM melangsai tunggakan gaji Mohd Noor Hazrul Mustafa berjumlah RM55,000 dalam tempoh 30 hari, berkuat kuasa 25 Julai lalu.
Dalam masa sama, beliau merayu kepada semua bekas pemain agar memahami kekangan kewangan dihadapi Kafa ketika ini dan menjelaskan pihaknya sedang berusaha sebaik mungkin menyelesaikan isu tersebut.
“Saya harap semua pemain bersabar, berilah ruang dan peluang kepada saya dan pasukan ini untuk bergerak ke hadapan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani menzahirkan rasa terkilan susulan tindakan dua Naib Presidennya, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim dan Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali meletakkan jawatan, beberapa hari lalu.
Menurutnya, kedua-dua ahli perniagaan itu tidak seharusnya berbuat demikian dalam keadaan persatuan dibelenggu pelbagai masalah yang meruncing ketika ini.
“Sebagaimana susahnya kita bertanding (kongres pemilihan Kafa) dahulu hendakkan jawatan itu dan dalam keadaan susah ini kita tak sepatutnya letak jawatan.
“Itu sahaja nasihat saya kepada semua orang termasuk diri saya sendiri melainkan kita sudah hilang daya ketahanan dari segi kewangan,” katanya.