KOTA BHARU: Kehadiran Kelantan United FC (KUFC) dalam saingan Liga Perdana musim depan memeriahkan bola sepak di negeri itu apabila turut bersaing dengan skuad utama The Red Warriors (TRW).
Presiden KUFC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata penyertaan pasukan mereka dalam liga berkenaan menambah aura sokongan peminat bola sepak Kelantan.
“Saya melihat penyertaan kami (KUFC) ke Liga Perdana dalam suasana yang cukup positif kepada peminat bola sepak negeri ini.
“Dua pasukan dari Kelantan bersaing dalam liga yang sama akan menambah lagi kesungguhan pasukan masing-masing bagi membuktikan kemampuan tersendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Pada perlawanan terakhir Liga M3 semalam, KUFC mengesahkan kejuaraan liga itu apabila terikat 2-2 menentang ATM FC di Stadium KLFA, Cheras, Kuala Lumpur.
Keputusan itu menyaksikan KUFC mengumpul 66 mata selepas 26 perlawanan, sekali gus tidak mampu dicabar oleh Kuching FA yang berada di kedudukan kedua biarpun berbaki dua perlawanan.
Che Abdullah berkata pihaknya sudah bersedia untuk menyahut cabaran beraksi di liga yang tinggi musim depan.
“Pada dasarnya dari segi pengurusan kami bersedia untuk mempersiapkan pasukan berdepan pasukan lebih kuat pada musim 2020.
“Kami tidak meletakkan KUFC sebagai persaingan kepada TRW atau menjadi pilihan kepada penyokong namun kedua-kedua pasukan mempunyai kelebihan masing-masing,” katanya.
— BERNAMA