KUALA LUMPUR: Pemain tengah Kelantan Mohd Badhri Radzi sedia menunaikan permintaan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) supaya turun menyertai latihan bersama The Red Warriors (TRW).
Namun, pemain veteran berusia 37 tahun yang dikenali sebagai Piya itu menuntut persatuan negeri itu untuk mematuhi kontrak dengan membayar gaji seperti yang dipersetujui sebelum ini.
“Saya boleh sertai latihan seperti yang diminta KAFA, dan hari ini pun saya datang ke padang. Tapi KAFA juga perlu patuh pada apa yang terkandung dalam kontrak,” kata Badhri.
“Dalam kontrak tertulis dengan jelas bahawa mereka (KAFA) perlu membayar gaji pemain sebelum atau pada 7 hari bulan setiap bulan. Tapi hingga kini belum dapat lagi.
“Jadi, tolonglah berlaku adil, kalau tidak dibayar gaji siapa yang nak turun berlatih? Saya harap KAFA faham mengenai situasi ini.”
Sebelum ini, Piya membuat keputusan mendahului KAFA selepas memutuskan untuk meninggalkan TRW walaupun baru sebulan kembali menyertai pasukan itu, musim ini.
Tindakan itu dibuat Piya susulan Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan sebelum ini menjelaskan persatuan itu akan meneliti semula mana-mana kontrak pemain ditandatangani bersama Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Bibi dilaporkan meminta Piya menyertai pasukan kerana KAFA masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya bersama skuad itu.