KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menamatkan kontrak Pengarah Teknikal, Peter Jorg Steinebrunner dan menawarkan penamatan kontrak awal kepada pemain import dari Brazil, Flavio Beck Junior.
Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata pihaknya bersetuju menamatkan khidmat Steinebrunner lebih awal atas persetujuan bersama.
“Steinebrunner bersetuju menamatkan kontrak selepas memilih haluan berbeza selepas mencapai kata sepakat menerusi perbincangan kedua belah pihak.
“Keputusan menamatkan kontrak jurulatih kelahiran Jerman itu dibuat untuk mengelakkan KAFA menanggung sebarang risiko yang terpaksa mengurangkan perbelanjaan pasukan bagi menghadapi baki saingan Liga Perdana musim ini.
“Saya juga memanggil panggil Jorg (Steinebrunner) dan Flavio (Beck Junior) dan saya menjelaskan KAFA tidak mahu berlaku masalah tunggakan gaji (sekiranya terus mengekalkan mereka) pada masa depan.
“Kita berusaha mengelakkan masalah tunggakan gaji berlaku dengan memaklumkan beliau KRW (Kelantan Red Warriors Sdn Bhd) tidak membayar gajinya.
“Malah saya mengambil tanggungjawab membayar gajinya dan beliau memahami permasalahan yang dihadapi KAFA dengan bersetuju KAFA mengurangkan tunggakan gajinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut mengenai status pemain import kelahiran Brazil, Beck Junior, Bibi Ramjani berkata, KAFA masih menunggu kata putus pemain itu sama ada bersetuju atau sebaliknya berhubung tawaran penamatan kontrak secara persetujuan bersama itu.
“Kalau ikutkan terma dan syarat kontrak beliau (Beck Junior) boleh menamatkan kontrak lebih awal jika berlaku masalah tunggakan gaji melebihi tempoh dua bulan namun KAFA tidak mahu beliau keluar dengan cara yang tidak elok tanpa sebarang perbincangan,” katanya.
Mengenai kedudukan seorang lagi pemain import iaitu Cassio de Jesus, Bibi Ramjani menyerahkan mandat kepada jurulatih baharu, Yusri Che Lah untuk tentukan masa depan (Cassio) bersama The Red Warriors (TRW),” katanya.