KUALA LUMPUR: Pemotongan mata yang dikenakan terhadap Kelantan seakan menunjukkan yang Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak menghormati pemain dan juga penyokong pasukan itu.
Tindakan yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kali ini juga mendedahkan amalan tidak sihat yang sering berlaku dalam pengurusan KAFA.
Persoalannya kini sejauh mana profesionalnya pucuk pimpinan KAFA kerana ini bukan kali pertama ia berlaku. Kelantan pernah dipotong enam mata oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) yang kini dikenali Liga Bolasepak Malaysia (MFL), dua tahun lalu.
Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad berkata setiap persatuan tidak boleh ‘lepas tangan’ dan perlu meletakkan pemain serta penyokong sebagai keutamaan sebelum membuat sebarang keputusan.
“Tidak timbul ini kesalahan siapa kerana mana-mana individu yang dilantik sebagai pemimpin persatuan perlu tahu secara terpeirinci tentang persatuan termasuk berapa hutang yang ada. Selain imej negara, persatuan dan pasukan tercalar, ia juga menggambarkan sikap tidak profesional,” kat Ridzuan.
“Pemain berhempas-pulas atas padang untuk mendapatkan mata buat pasukan tetapi akhirnya mata yang diraih hilang begitu saja. Jangan lepas tangan untuk selesaikan masalah ini… hormatilah pemain dan juga penyokong yang ‘melabur’ datang ke stadium untuk beri sokongan kepada pasukan.”
BH Sukan melaporkan KAFA dipotong tiga mata selepas gagal melunaskan tuntutan daripada bekas Pengarah Teknikalnya KAFA, Alfredo Carlos Gonzalez.
Keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengarahkan KAFA membayar tuntutan oleh Gonzalez, denda FIFA dan kos prosiding yang keseluruhannya berjumlah kira-kira RM235,686 dalam tempoh 30 hari.