KOTA BHARU: Polis Kelantan memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di sini, bagi mengekang kegiatan penyeludupan walaupun dalam keadaan banjir.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata setakat ini keadaan di sempadan adalah terkawal.
Katanya, paras air di Sungai Golok meningkat susulan hujan berterusan selama beberapa hari menyebabkan garisan sempadan antara kedua-dua negara tidak dapat dilihat dengan jelas.
“Bagaimanapun saya tegaskan kawalan tetap ada dan diperketatkan bagi mengelak dibolosi penyeludup yang cuba membawa barangan terlarang ke negara ini.
“Pada musim tengkujuh ini, kita meningkatkan lagi kawalan di sempadan Malaysia-Thailand, selain turut bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Saya ingatkan orang ramai supaya menggunakan jalan yang sah kerana jika ditangkap, mereka akan berdepan tindakan undang-undang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Hasanuddin berkata, lapan daripada keseluruhan 55 balai polis di negeri ini dinaiki air namun tidak menjejaskan penugasan pihak berkuasa berkenaan.
“Antaranya, Balai Polis Rantau Panjang di Pasir Mas serta Balai Polis Kuala Jambu dan Simpangan di Tumpat tetap beroperasi seperti biasa biarpun dinaiki air sehingga setengah meter.
“Penduduk masih boleh membuat sebarang urusan di balai berkenaan walaupun pada musim banjir,” katanya.
Mengulas situasi banjir di negeri ini, beliau berkata jumlah daerah semakin berkurangan daripada sembilan kepada tujuh hari ini.
“Setakat ini daerah Tanah Merah, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Kota Bharu, Tumpat dan Kuala Krai masih dilanda banjir.
“Keadaan paras air di semua sungai juga menunjukkan penurunan dan banjir ini dijangka turun ke Tumpat dan semua penduduk di negeri ini diminta supaya terus sentiasa berwaspada,” katanya.
– BH Online