PASIR MAS: Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan kawasan rendah di Rantau Panjang dan Pasir Mas dilanda banjir sehingga paras lebih satu meter.
Hampir 10 kampung dilanda banjir di Rantau Panjang termasuk Kampung Lanchang, Siram, Jejawi, Putat Tujoh, Tasek Bakong dan Gual Batu Kok.
Manakala, sekurang-kurangnya lima kampung di sekitar kawasan Meranti, Pasir Mas yang berdekatan dengan Sungai Golok dinaiki air, namun sehingga jam 9 pagi ini, tiada sebarang pemindahan.
Berdasarkan portal infobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan paras 8.84 meter iaitu melebihi paras amaran 8 meter.
Paras air Sungai Golok menunjukkan sedikit peningkatan berbanding petang semalam iaitu 8.82 meter, namun ia dijangka semakin meningkat berikutan hujan lebat sejak pagi tadi.
Bagaimanapun, paras air sungai lain termasuk di Gua Musang dan Kuala Krai masih pada paras normal.
Pegawai Bomba Kanan 1, Balai Bomba Rantau Panjang, Zaimi Samat, berkata setakat ini hanya kawasan rendah yang berdekatan Sungai Golok dilanda banjir.
“Pihak bomba akan sentiasa memantau paras air dan mengingatkan penduduk supaya berpindah segera sekiranya paras air semakin naik.
“Penduduk di kawasan rendah hampir keseluruhannya kediaman mereka tinggi memandangkan sering dilanda banjir dan walaupun air mencecah lebih satu meter, mereka belum berpindah.
“Bagaimanapun, sekiranya paras air semakin membahayakan, kita akan menempatkan mereka di pusat pemindahan berdekatan,” katanya.