Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di negeri ini mencatat pencapaian terbaik dalam tempoh 10 tahun apabila merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.84.
Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan, Abdullah Mat, berkata pencapaian itu menunjukkan peningkatan GPN sebanyak 0.11 berbanding GPN 4.95 pada 2017.
Beliau berkata, seramai 262 calon SPM 2018 memperoleh sekurang-kurangnya A- bagi semua mata pelajaran yang diambil berbanding 199 calon pada tahun 2017.
“Seramai tiga calon mendapat semua A+ di Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Muhammad Faris Petra berbanding seorang saja di negeri ini pada 2017.
“Seramai 19,466 pelajar membabitkan 89.67 peratus daripada 29,210 calon SPM yang layak mendapat sijil peringkat negeri, menunjukkan peningkatan 0.99 peratus berbanding 88.68 peratus 2017.
“Sebanyak 28 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus calon memperoleh sijil termasuk tujuh Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) berbanding 24 sekolah pada tahun 2017,” katanya pada majlis pengumuman keputusan SPM 2018 di sini hari ini.
Katanya, terdapat sebuah sekolah yang mencapai kelulusan 100 peratus lulus bagi semua mata pelajaran iaitu SMS Machang.
“Sebanyak 15 sekolah pula mencapai kelulusan 85 peratus ke atas.
“Sebanyak 48 mata pelajaran yang diambil calon SPM Kelantan bagi tahun 2018 membabitkan 19 daripadanya mencapai kelulusan 100 peratus,” katanya.