Lima pelajar daripada tiga sekolah berbeza di Kelantan diumumkan antara 10 pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019 hari ini.
Lima pelajar dari Kelantan itu ialah Nur Izzati Mat Rodhi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) SMK Long Yunus, Bachok; Siti Aishah Mz Rozalan (SMK Ayer Panas, Jeli) dan tiga pelajar SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, iaitu Mohd Hafiza Ismail, Fatin Nur’Izzati Md Azmi serta Siti Nazira Sakiam.
Lima pelajar lain yang turut diumumkan ialah Oon Men Joo daripada SMK Taman Johor Jaya (1); Tristan Ganes, Kolej Tingkatan Enam Petaling Jaya; Nurheizatul Azwa Ruspin@Sumail, SMK Agama Kota Kinabalu; Choo Yuan Zhang, SMJK Katholik Petaling Jaya dan Wong E Chern dari SMK Gajah Berang, Melaka.
Semua pelajar itu memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan Nasional (PNGK) 4.00 dan 5A.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Emeritus Datuk Mohd Azraai Kassim, berkata pencapaian calon peperiksaan STPM 2019 secara keseluruhan terus meningkat dalam semua kriteria pengukuran.
“Peningkatan itu boleh dilihat menerusi PNGK, calon yang mendapat A dalam lima dan empat mata pelajaran serta peningkatan pada lulus penuh,” katanya pada Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2019 di MPM di sini, hari ini.
Mohd Azraai berkata, PNGK Nasional mencatatkan 2.77 dalam STPM 2019 berbanding 2.80 tahun lalu, manakala PNGK calon sekolah kerajaan juga sama dengan PNGK Nasional iaitu 2.77.
“Bilangan calon memperoleh PNGK 4.00 daripada keseluruhan calon hadir dalam peperiksaan STPM 2019 bertambah, iaitu 802 calon berbanding 666 calon sebelumnya.
“Selain itu, bilangan dan peratusan calon mendapat PNGK 3.00 ke atas turut mencatatkan penambahan, iaitu kepada 17,615 calon tahun ini berbanding 17,447 calon (2018),” katanya
Menurutnya, kenaikan peratusan dan bilangan calon mendapat 5A meningkat kepada 42 calon berbanding 24 calon tahun lalu.
“Lebih menggembirakan daripada keseluruhan 802 calon mendapat PNGK 4.00, 587 daripadanya adalah daripada golongan B40,” katanya.
Sumber: Berita Harian