KOTA BHARU: Kelantan mengesahkan tempat ke saingan Piala Malaysia selepas berjaya menewaskan Pahang 2-1 pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, sebentar tadi.
Kelantan menamatkan saingan liga di tangga ke-11 selepas mengumpul 18 mata dan terpaksa beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan.
The Red Warriors (TRW) mencipta peluang pada minit ketiga dan minit ke-12 namun percubaan daripada Muhammad Danial Ashraf Abdullah dan Cristiano Santos tersasar.
Pahang hampir mendahului tuan rumah menerusi percubaan Muhammad Zubir Azmi pada minit ke-19 namun bola ditampan keluar penjaga gol Kelantan, Mohamad Faridzuean Kamaruddin.
Akhirnya, tuan rumah menghukum kealpaan benteng pelawat pada minit ke-42 menerusi Danial Ashraf yang memerangkap Mohd Helmi Eliza Elias selepas mendapat umpanan tepat daripada Mohd Haikal Nazri.
Bersambung babak kedua, Iwuji Amutu menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-65 selepas mudah menyudahkan sepakan lintang Matthew Davies untuk menewaskan Faridzuean Kamaruddin.
TRW yang dibimbing Yusri Che Lah tidak menunggu lama untuk kembali mendahului menerusi Shafiq Shaharudin pada minit ke- 76 sekali gus mengesahkan kemenangan terakhir dalam kempen Liga Super.
BH Online