Kelantan mahu meningkatkan elemen patuh syariah dalam kalangan atlet negeri pada temasya Sukan Malaysia Ke-19 (SUKMA XIX) Perak 2018, yang akan bermula bulan depan.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan NGO negeri, Zuraidin Abdullah, berkata kesedaran itu perlu bagi memastikan ia selari dengan dasar kerajaan yang menetapkan patuh syariah dalam bersukan.
Katanya, kerajaan negeri sudah lama menetapkan perkara itu dalam beberapa acara dan kejohanan, antaranya Liga Bola Sepak Tok Guru yang mewajibkan pemainnya menutup aurat.
“Seelok-elok tutup aurat bagi atlet yang terbabit pada SUKMA kali ini kerana jika dilihat dalam temasya sukan antarabangsa seperti sukan Olimpik, ia juga diamalkan beberapa negara Arab,” katanya pada sidang media sempena majlis penyerahan bendera negeri di sini, hari ini.
SUKMA XIX akan bermula pada 14 September depan dengan mempertandingkan 29 acara sukan.
Zuraidin berkata, elemen patuh syariah tidak diwajibkan kepada semua atlet tetapi berharap ia dapat diikuti bagi menjadi satu aliran di peringkat nasional.
“Kita juga mahu ia menjadi contoh kepada negeri lain, sekali gus menjadi satu aliran di peringkat nasional.
“Kita tidak mewajibkan, cuma berharap ia dapat diterapkan dan diamalkan kerana ia juga satu perkara yang baik bagi memupuk disiplin dalam kalangan atlet,” katanya.