Kelantan berazam mempertahankan gelaran juara bagi acara Muay Thai pada Sukan Malaysia Ke- 19 (SUKMA XIX) Perak 2018, yang bakal membuka tirainya September depan.
Kontinjen negeri ini pernah mencipta kenangan manis apabila membolot lima pingat emas dan dua gangsa sekaligus dinobatkan juara keseluruhan acara berkenaan yang buat kali pertama dipertandingkan dalam SUKMA Ke-16 Kuala Lumpur dan ia mahu diulangi skuad terbabit pada temasya yang sama nanti.
Ketua Jurulatih Muay Thai Kelantan, Nik Mohd Izwan Nik Yusoff berkata bagi merealisasikan impian berkenaan seramai 11 atlet membabitkan lelaki dan wanita dihantar menyertai beberapa kategori yang dipertandingkan.
Malah, katanya, anak buahnya kini tampil lebih bersedia selepas barisan kejurulatihan pasukan memulakan latihan awal sejak Febuari lalu yang membabitkan tiga fasa.
“Kita menghantar 11 atlet menyertai beberapa kategori utama Muay Thai yang mana tujuh daripadanya atlet lelaki dan empat atlet wanita.
“Dari segi persiapan kita sudah memulakannya sejak Febuari lalu dengan beberapa pengisian latihan pusat serta latihan intensif yang turut memfokuskan kepada tahap keyakinan atlet ketika beraksi di gelanggang.
“Kini latihan terbabit sudah berada pada fasa terakhir yang mana kita mahu memastikan kesemuanya berada dalam keadaan bersedia dari segi mental dan fizikal dan menjadi impian kita untuk mengulangi kejuaraan dalam Muay Thai pada temasya SUKMA kali ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Atlet lelaki yang menjadi sandaran kontinjen negeri itu ialah Mohamad Isma Afdan Mohd Nasir (kategori 45 kilogram); Zulhilmi Rosli (48 kg); Mazlisham Mohamed (51 kg); Muhamad Tohardie Amir Amrri (54 kg); Muhamad Zaki Rosli (57 kg); Nik Muhamad Syahidan Nik Mat Kahar (60 kg) dan Mohamad Nurulazrin Mohd Yassin (67 kg).
Atlet wanita pula membabitkan Nik Masmazlin Nafisa Wan Ahmad Izani (45 kg); Farah Wahida Mohd Yasin (48 kg); Fatin Najihah Ab Wahid (51 kg) dan Busyra Burhan (60 kg).
Nik Mohd Izwan berkata sebagai pecutan terakhir bagi setiap atlet pihaknya merancang untuk menghantar mereka menjalani latihan intensif di Trang, Thailand pada pertengahan Ogos depan.
Katanya, selain itu dalam masa terdekat anak buahnya juga bakal menghadapi siri perlawanan persahabatan menentang barisan atlet Muay Thai Kuala Lumpur.
“Ia sebagai satu lagi langkah untuk memastikan semua atlet betul-betul bersedia serta memupuk keyakinan diri mereka kerana pada latihan sebelum ini mereka dilatih dengan perkara asas dalam sukan ini.
“Bagi perlawanan persahabatan pula ia sebagai perlawanan pemanas badan buat atlet kedua-dua pasukan dan diharapkan setiap persiapan yang diatur ini berjalan lancar sebelum aksi sebenar pada September nanti,” katanya.
Caption: Sebahagian atlet kontinjen Kelantan yang bakal dihantar bagi acara Muay Thai dalam Sukan Malaysia ke- 19 (SUKMA XIX) di Perak pada September depan.
Ketua Jurulatih Muay Thai Kelantan, Nik Mohd Izwan Nik Yusoff mahu mempertahankan gelaran juara buat kontinjen Kelantan pada Sukan Malaysia ke- 19 (SUKMA XIX) Perak 2018 pada September depan.