TUMPAT: Kerajaan Kelantan menunggu perkembangan berhubung pembayaran royalti minyak oleh Kerajaan Persekutuan, selepas perbicaraan mahkamah pada Rabu ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata perkembangan mengenai perkara itu hanya akan diketahui selepas proses perundangan di mahkamah.
“Setakat ini kita tunggu perbicaraan mahkamah pada 17 April.
“Sudah tidak lama dah, lagi dua hari… kita tunggu dengan sabar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Maahad Muhammadi Pasir Pekan, di sini, hari ini.
Ahmad diminta mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, baru-baru ini, bahawa Kerajaan Persekutuan akan membayar royalti petroleum kepada Kelantan selepas proses penarikan saman oleh kerajaan negeri selesai bulan ini.
Mohamed Azmin dilaporkan berkata selagi proses perundangan di mahkamah tidak selesai, Kerajaan Persekutuan tidak boleh membayar royalti minyak itu.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, bayaran royalti itu nanti boleh digunakan untuk pembangunan negeri Kelantan termasuk pembinaan kolej universiti.
Terdahulu, beliau menyampaikan Skim Bantuan Imam Al-Ghazali kepada 75 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) seluruh sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Ahmad selaku Pengerusi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berkata, skim bantuan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial PMBK.
Katanya, skim berkenaan sudah memasuki tahun ke-11 sejak diperkenalkan pada Mei 2009 oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.