KOTA BHARU — Kerajaan Negeri Kelantan menyasarkan kehadiran 5.5 juta pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2020 pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, sasaran itu mampu dicapai berikutan negeri ini memiliki banyak lokasi menarik untuk dikunjungi.
Beliau berkata, pihaknya yakin sasaran itu juga mampu dicapai sejajar dengan misi Tahun Melawat Malaysia 2020 selain statistik menunjukkan berlaku peningkatan kemasukan pelancong ke negeri ini.
“Sehingga Oktober lepas, jumlah kemasukan pelancong ke negeri ini ialah 3.45 juta orang merangkumi pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya selepas hadir merasmikan Pra Pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2020 di Dataran Rehal di sini, hari ini.
Bagi melonjakkan angka itu pelbagai langkah dan inisiatif ke arah menarik pelancong ke negeri ini giat dilaksanakan oleh Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan dengan kerjasama rakan strategik.
“Pihak kami sedang giat menambahbaik fasiliti yang ada termasuk mengutamakan aspek kebersihan di kawasan tumpuan dan menjaga rapi tempat menarik di negeri ini selain merangka pelbagai aktiviti kebudayaan di negeri ini,” katanya.
Md Anizam berkata, dengan bertemakan ‘Family, Food & Festival’ pihaknya berharap ia dapat menarik seramai mungkin pelancong ke negeri ini.
“Ia bukan misi mustahil untuk kita, malah dengan keunikan dan keistimewaan negeri ini yang menjunjung dasar ‘Membangun Bersama Islam’ menjadi satu kelainan dalam bidang pelancongan di negeri ini,” katanya.
Md Anizam turut mengumumkan bantuan insentif kepada 50 pemandu beca di negeri ini dengan jumlah keseluruhan RM60,000.
Setiap penerima menerima RM1,200 setahun yang akan disampaikan secara berperingkat sebanyak dua kali setahun.
“Beca menjadi ikon di negeri ini sejak dahulu lagi, jadi kita cuba membantu pemandu beca ini yang kebanyakan sudah berusia dan diharap dengan insentif yang diberikan dapat membantu keperluan mereka,” katanya.
— BERNAMA