KOTA BHARU – Bola sepak Kelantan terus dirundung malang selepas pengendali pasukan itu, Marko Kraljevic dilaporkan berpisah dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).
Sumber Kafa mendedahkan, perkara itu berpunca daripada masalah kewangan pasukan yang meruncing ketika ini selain faktor prestasi pasukan.
“Setakat ini itu sahaja yang saya dimaklumkan, selebihnya satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh pengurusan tertinggi Kafa.
“Saya akui Kafa ketika ini sedang berdepan masalah kewangan sejurus pembatalan kerjasama dengan MyInspiration Sdn. Bhd. menerusi Syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber Kafa memberitahu, kekosongan tugas yang ditinggalkan Kraljevic itu akan diisi oleh pengarah teknikal pasukan Jorg Peter Steinebrunner.
Sementara itu, Kraljevic ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.
Katanya, dia memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan beberapa perkara sebelum memberikan sebarang ulasan berkait dengan kedudukan sebagai pengendali TRW.
Dalam perkembangan yang sama, Presiden Kafa Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, badan induk itu akan meneliti semula mana-mana kontrak pemain yang gaji mereka dibayar oleh KRW Sdn. Bhd. dengan jaminan kerjasama MyInspiration Sdn. Bhd. baru-baru ini.
Katanya, antara individu yang dibawa masuk menerusi jalinan kerjasama itu ialah Kraljevic, Raul Tarragona, Mohd. Badhri Radzi dan beberapa lagi.
“Yang mana terlibat di bawah KRW Sdn. Bhd, Kafa mungkin boleh berunding untuk teruskan atau memilih jalan terbaik demi kebaikan Kafa dan mereka terlibat.
“Kafa kena menstrukturkan semula KRW Sdn. Bhd selepas kontrak kerjasama dengan MyInspiration Sdn. Bhd ditamatkan secara rasmi baru-baru ini,” ujarnya.