KOTA BHARU – Hutang lapuk Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dengan bekas pemain pasukan itu yang dianggarkan berjumlah RM3 hingga RM4 juta akan dilunaskan oleh syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Fadli Mohammad berkata, perkara tersebut menjadi salah satu keutamaan yang akan dikotakan oleh syarikat berkenaan sebagaimana janji dibuat ketika mengambil alih pengurusan pasukan The Red Warriors (TRW) dari KAFA.
Menurutnya, sebagai membuktikan komitmen itu, KRW Sdn. Bhd. akan melangsaikan hutang lapuk KAFA dengan Mohd. Badhri Radzi yang telah mencetuskan isu hangat sebelum ini.
“Kita bawa masuk semula Mohd. Badhri atau Piya adalah sebahagian daripada proses pensturukturan semula hutang-hutang KAFA dengan pemain berkenaan.
“Insya-Allah, bermula 1 April nanti pegawai saya akan menghubungi pemain terlibat (mempunyai tunggakan hutang) untuk berbincang mengenai cara dan keadah pembayaran,” katanya.
Ahmad Fadli memberitahu, KRW Sdn. Bhd juga akan turut melunaskan bayaran hutang bekas pengarah teknikal TRW Alfredo Gonzales selewat-lewatnya 5 April ini.
Katanya, pensturukturan semula hutang-hutang lapuk ini penting bagi memastikan ia tidak menjejaskan perbelanjaan pasukan musim 2019.
“Ramai orang tak faham, bila kami ambil alih semua masalah (hutang) akan selesai, harus diingat KRW Sdn. Bhd. bukanlah ‘Superman’ kerana ia melibatkan jumlah amaun tertentu.
“Apa yang kita lakukan ini adalah titik tolak keseriusan pengurusan bola sepak baharu bola sepak Kelantan dalam melicinkan semula pentadbiran pasukan,” ujarnya.