UMPAT – Masih ramai ibu bapa mengambil sikap sambil lewa apabila tidak mendaftar kelahiran anak hingga mereka tidak mempunyai pengenalan diri yang sah.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, kes itu turut dikesan berlaku di kawasan bandar.
Menurutnya, pihak JPN memandang serius perkara tersebut kerana ia akan menimbulkan kesulitan di kemudian hari.
“Ada ibu bapa lepasan universiti pun tidak daftar kelahiran anak. Apabila anak nak bersekolah, timbul masalah.
“Kalau tinggal di kawasan pedalaman mungkin mereka sukar ke JPN, tetapi apabila berlaku di kawasan bandar, ini sikap tidak cakna ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di Masjid Pulau Teluk Rejuna di sini, petang semalam.
Hadir sama, Pengarah JPN Kelantan, Asrehan Ab Razak.
Mohammad Razin berkata, JPN juga ada menyediakan perkhidmatan bantuan Unit Mobile Ehsan JPN ke rumah untuk memudahkan warga emas, pesakit terlantar, orang kurang upaya (OKU) memperbaharui kad pengenalan lama.
“Perkhidmatan ini banyak membantu pelanggan JPN terutama yang tidak berupaya untuk ke JPN kawasan masing-masing,” katanya.