KOTA BHARU: Pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat menafikan satu laporan yang menyatakan dia mahu berhijrah dari skuad Red Warriors dan bersedia menebus kontrak berjumlah RM1 juta.
Nik Akif Syahiran yang tampil memberi penjelasan sebenar berkata, komen yang diberikan kepada wartawan itu berbeza dengan laporan yang diterbitkan dan ia seolah-olah ingin mengeruhkan situasi yang dihadapi pasukannya.
Katanya, dia memberitahu supaya jika ada pasukan yang mahukan khidmatnya, pasukan terbabit perlu berbincang dengan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Bibi Ramjani Ilias Khan terlebih dahulu.
“Saya hanya menjawab soalan yang ditanya dan wartawan itu tanya mengenai jika ada pasukan yang tawarkan kontrak, saya jawab mereka kena berhubung dengan pihak pengurusan KAFA dan bukannya saya.
“Tetapi dalam laporan itu menyatakan seolah-olah saya ingin tebus kontrak dan berhijrah ke pasukan lain demi menyelamatkan karier.
“Saya tidak mahu masuk campur soal urusan dan memberi ruang kepada pihak pengurusan untuk menyelesaikan beberapa masalah yang berlaku,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Pada 9 April lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan Nik Akif Syahiran membayangkan bakal meninggalkan Kelantan dan sedia menebus kontrak berjumlah RM1 juta demi menyelamatkan kariernya ekoran kemelut berpanjangan yang melanda pasukan itu.
Dalam laporan itu menyatakan pemain berusia 20 tahun itu tidak akan terburu-buru untuk ‘angkat kaki’ walaupun boleh berbuat begitu apabila pintu perpindahan kedua dibuka pada 2 Mei hingga 29 Mei depan.
Mengulas perkara sama, Nik Akif Syahiran berkata semua pemain pasukan ketika ini memahami masalah yang dihadapi pengurusan dan yakin ia mampu diselesaikan dengan baik.
“Saya dan rakan-rakan memahami keadaan dan memberi masa kepada pengurusan untuk menyelesaikan apa yang dihadapi sekarang,” katanya.