TUMPAT – Sebut sahaja pasar terapung, orang mungkin terbayangkan aktiviti itu di Bangkok atau beberapa tempat lain di Thailand, namun mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa Malaysia juga mempunyai pasar terapungnya sendiri iaitu di Kampung Pantai Suri, Kelantan.
Konsep jualan adalah seakan-akan pasar terapung di Thailand di mana pasar terapung Kampung Pantai Suri ini menghimpunkan pelbagai jualan, khususnya yang hanya terdapat di kawasan perkampungan sekitar termasuk jeli kelapa, gula melaka, madu,nasi berlauk, aneka kuih tradisional dan kerabu nipah.
Sungguhpun jumlah bot yang beroperasi di pasar terapung ini cuma 10 buah sejak ia diwujudkan pada 2016 namun peniaga yang terlibat berusaha gigih melestarikan budaya masyarakat Melayu yang terkenal sebagai kaum pedagang termasuk berniaga di atas perahu seperti yang amalkan ketika zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka dahulu.
Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Hafiz Hazin berkata Pasar Terapung Pantai Suri yang beroperasi setiap hari Sabtu kini menjadi antara tarikan pelancong ke daerah Tumpat.
Beliau berkata pihaknya akan menaik taraf prasarana di Pantai Suri untuk kemudahan kepada penduduk setempat serta pengunjung luar yang ingin menikmati pelbagai juadah lazat serta merasai pengalaman membeli pelbagai barangan dari atas perahu.
Beberapa peniaga yang ditemui Bernama berkata pasar terapung ini memberi ruang kepada mereka menggunakan sepenuhnya hasil tangkapan untuk dijadikan juadah jualan.
Selain orang ramai boleh menikmati makanan laut segar dan murah, peniaga juga dapat meningkatkan pendapatan keluarga kerana hasil tangkapan dijual sendiri.
Penjual ikan, udang, sotong dan ketam celup tepung Mohd Seri Mat Amin, 49 yang dibantu anak sulungnya Syamelia, 23, berkata walaupun peniaga pasar terapung itu tidak ramai, ia cukup untuk menandakan Malaysia mampu memiliki sebuah pasar yang unik seperti di Bangkok, Thailand.
Katanya, pendapatannya sebagai nelayan meningkat kira-kira tiga kali ganda pada setiap hari Sabtu kerana hasil tangkapannya tidak dijual kepada peraih sebaliknya dibuat ikan, udang, ketam dan sotong celup tepung dan dijual di pasar terapung.
Faizal Muhammad, 31 dan isterinya Faizah Che Husin, 33 yang menjual lokan bakar, popia vietnam, serta kerabu nipah berkata sejak berniaga di pasar terapung ini, pendapatan keluarganya mencecah lebih RM300 untuk tempoh lapan jam berniaga.
“Kami cari sendiri lokan dan kebiasaannya setiap Sabtu, kami dapat jual sehingga 800 biji lokan bakar,” katanya sambil menambah sepinggan lokan bakar (10 biji) dijual dengan harga RM5, popia vietnam dijual pada harga RM7 sebungkus (enam biji) manakala kerabu nipah pada harga RM3 semangkuk.
Pasangan adik beradik yang menjual Dim Sum pula berkata, dengan adanya pasar terapung pada setiap hari Sabtu itu bukan sahaja memberi ruang mereka berdua menambah pendapatan, tapi juga merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Kami jual dengan harga yang mampu dibeli orang tempatan. Ia jualan baharu bagi orang Melayu yang sebelum ini menjadi makanan utama masyarakat Cina terutama pada hari perayaan,” kata Mira sambil menambah beliau mempelajari cara membuat Dim Sum ketika bekerja di sebuah hotel di bandar Kota Bharu.
Sementara itu seorang nelayan Abdul Ghani Dolah, 68, berkata walaupun tidak sehebat pasar terapung di negara jiran ia cukup untuk memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman memesan makanan dari dalam bot.
“Harapan saya supaya golongan nelayan boleh meningkat pendapatan walaupun berjualan hanya lapan jam sehari,” katanya
– BERNAMA