PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan sudah memulakan langkah bagi melaksanakan lima projek utama untuk pembangunan Kelantan diumumkan pada bulan lalu.
Ia membabitkan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, laluan baharu Pasir Puteh – Machang – Jeli, Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai dan Jambatan Palekbang – Kota Bharu.
Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menerusi kenyataan hari ini berkata, satu mesyuarat antara kementerian itu bersama Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Unit Perancang Ekonomi Kelantan (UPENK), Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU) Kelantan dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur telah diadakan pada Ahad lalu berhubung perancangan pelaksanaan semua projek berkenaan.
Kata kenyataan itu, kajian bagi pelaksanaan LPT3 sedang dilaksanakan dan KKR juga mempertimbangkan mengenai kajian terkini berhubung lebuh raya bertol, manakala JKR Kelantan memuktamadkan penjajaran serta skop kerja untuk Fasa 1 cadangan laluan baharu Pasir Puteh – Machang – Jeli.
“Bagi jambatan Palekbang – Kota Bharu, JKR Kelantan akan terbabit dengan ECERDC dan kerajaan negeri mengenai pelaksanaannya. UPENK akan menyelaras dengan kementerian dan agensi masing-masing untuk mempercepat pelaksanaan projek terbabit.
“Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai pula sedang dilaksanakan secara berperingkat dengan satu pakej selesai, dua pakej masih berterusan, dua pakej dalam perolehan serta baki tiga lagi dalam perancangan.
“Proses perolehan untuk pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sedang dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan dan dijangka siap pada suku keempat tahun ini,” katanya.
Menurut kenyataan itu, keputusan kerajaan Persekutuan meluluskan lima projek berkenaan adalah selaras dengan Tonggak Ketiga Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) iaitu ‘mewujudkan pembangunan wilayah yang seimban’.
“Usaha akan dipergiatkan untuk mengatasi ketidakseimbangan pembangunan dalam kalangan enam wilayah.
“Kelantan adalah salah satu negeri diberi keutamaan untuk mempromosikan pertumbuhan yang saksama dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan itu.
Pada 7 Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika lawatan ke Kalantan mengumumkan kerajaan Persekutuan meluluskan tambahan RM200 juta untuk pembangunan negeri itu, menjadikan peruntukan keseluruhan disalurkan kepada Kelantan menerusi Kajian Separuh Penggal RMKe-11 sebanyak RM1.4 bilion.
Beliau dilaporkan berkata, menerusi peruntukan itu, lima projek pembangunan untuk rakyat di Kelantan diluluskan pada mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Mac lalu.